KUALA LUMPUR – Adakah pengosongan kerusi P078, Cameron Highlands bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini sebenarnya satu ‘rahmat’ bagi penantian Presiden MyPPP, Tan Sri M Kavyeas yang telah menantikan peluang itu selama lebih 17 tahun?
Krisis berkaitan kerusi Cameron Highlands dan siapakah yang sepatutnya layak bertanding setiap kali menjelangnya pilihan raya sentiasa menjadi antara perhatian umum tidak kira dalam kalangan komponen Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).
Malah kita juga tidak boleh lupa bagaimana pada Pilihan Raya Umum 14, MIC yang merupakan parti komponen ketiga terbesar dalam BN mewakili masyarakat India dan MyPPP bertelagah sehingga ke saat akhir bagi kerusi tersebut.
Berbekalkan alasan kerusi tradisi MIC dan faktor ‘local boy’, MIC dan MyPPP berterusan bercakaran sehingga menyebabkan kepimpinan MyPPP sendiri terpisah dua dalam tempoh krisis itu.
Kavyeas tetap bertegas untuk terus diberikan peluang bertanding di Cameron Highlands sebagai wakil BN atau keseluruhan MyPPP akan keluar dari komponen selama-lamanya.
Pada hemat Kavyeas, BN yang didominasi oleh UMNO tidak sepatutnya ‘membuli’ serta bertindak membabi buta dengan memberikan kerusi-kerusi sukar dimenangi hanya bagi tujuan memenuhi ‘kuota’ sebaliknya semangat setiakawan itu perlu dijunjung.
Tidak lupa juga rasa tidak puas hati mengapakah calon DAP, M. Manogaran diletakkan sedangkan calon lebih layak yang telah lama berkhidmat di situ adalah J. Appalasamy, malah sehingga waktu terakhir, penyokong Appalasamy merayu agar Setiausaha Agung, Lim Guan Eng menimbang permohonan tersebut.
Appalasamy masih lagi popular di Cameron Highlands jika hendak dibandingkan dengan Manogaran sehingga kini namun siapakah calon DAP masih menjadi tanda tanya.
Berbalik kepada Kavyeas, sudah ada aura-ura yang mengatakan ada beberapa pihak mahu beliau kembali ke Cameron Highlands kerana ketika ini sentimen penduduk di situ sukar untuk dijangka.
Dengan gelaran ‘Uncle Bond’, walaupun tidak diberikan kerusi itu sehingga kini, Kavyeas dan pusat khidmat MyPPP masih aktif di Cameron Highland malah keakraban beliau dengan penduduk setempat masih lagi utuh dengan dirinya berkunjung saban minggu menghadiri majlis.
Kavyeas juga boleh dianggap masih lagi relevan bukan atas faktor dirinya pimpinan ‘veteran’ dan fasih dengan selok belok senario politik di negara ini, tetapi beliau juga antara yang lantang bersuara tanpa wujud rasa gentar untuk menegur mana-mana pihak.
Lebih dari itu, Kavyeas juga memiliki hubungan yang baik dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak dahulu, selain pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri ketika era kepimpinan Tun Dr Mahathir.
Selepas PRU 14, Kavyeas bertindak keluar dari BN dan menyokong kepimpinan Dr Mahathir tetapi pada masa yang sama tidak pula mengkritik kerajaan pimpinanDatuk Seri Najib Tun Razak.
Pada era Najib juga, Kavyeas masih lagi lantang dan nadanya sehingga kini tidak berubah dengan karisma sebagai ahli politik veteran.
Senario ini dilihat sebagai bonus, berikutan pendirian bersifat neutral diyakini mampu memberi menfaat lebih besar pada rakyat.
Antara isu-isu yang perlu ditangani segera ketika ini termasuk isu tanah Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang mengimpikan tanah sendiri, kesibukan lalu lintas, peluang pekerjaan kepada warga tempatan, pekerja asing berkemahiran tetapi tidak diberikan visa atau permit pekerjaan, premis perniagaan baharu, ketiadaan projek perumahan mampu milik dan ketiadaan kolej komuniti atau pusat seperti stadium mini.
Baru-baru ini pula, kerajaan baharu mula mengutip bayaran ‘parking’ yang selama ini tidak pernah wujud dan memaksa pelancong serta pelawat tempatan membuat bayaran.
Semua ini juga antara manifesto Kavyeas kepada warga Cameron Highlands.
Mungkinkah impian beliau di tempat kelahirannya ini akan menjadi kenyataan seandainya menang kerana dirinya kini ‘bebas’?
Bagaimanapun, semua itu terpulang kepada pengundi di Cameron Highlands yang masih lagi resah kerana banyak isu masih lagi tidak dapat diselesaikan dan mendapat perhatian walaupun sudah berpuluh tahun.
Sejak PRU-14, dilaporkan hampir 70 peratus perniagaan mengalami kemerosotoan terutamanya dalam sektor pelancongan dan pertanian di Cameron Highlands.
Adakah mereka akan mengundi kerajaan kini yang ketika ini sedang ‘kusut’ kerana perlu menyelesaikan pelbagai isu selain daripada mengotakan pelbagai janji manifesto sebelum ini?
Atau mengundi kembali calon dalam kalangan komponen BN yang kini tidak lagi memiliki kuasa kerajaan pusat selepas 61 tahun berkuasa sekaligus membantutkan pembangunan dan perkara-perkara lain kerana kekangan dana di kawasan itu?
Soal parti atau kerusi tradisi sudah tidak boleh diguna pakai lagi, barangkali kekuatan itu ada pada calon itu sendiri dan bukan lagi terletak pada logo sesebuah parti politik.
Apa yang pasti, jika benar Kavyeas mahu bertanding, pemimpin veteran itu akhirnya dapat merealisasikan impian hampir 17 tahun kerana itu yang sebenarnya telah dijanjikan kepadanya.
Apatah lagi selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa wakil MIC, C. Sivarraajh tidak boleh bertanding baik di Cameron Highlands mahupun di mana-mana kawasan dalam tempoh lima tahun bermula 13 Disember lalu.
Sama-sama kita nantikan. –MalaysiaGazette