Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan laporan media sosial yang mendakwa ia telah membuat perolehan pembesar suara bernilai RM80 juta.

KPM berkata, laporan itu adalah fitnah melampau yang berniat jahat.

“KPM tidak pernah dan tidak bercadang untuk membuat sebarang pembelian peralatan tersebut dalam jumlah yang begitu besar dengan harga yang tidak munasabah yang merugikan kerajaan dan wang rakyat, terutama sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu.

“Laporan seumpama ini menjejaskan imej dan reputasi Menteri Dr. Maszlee Malik dan juga KPM serta kerajaan baharu,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas laporan sebuah blog yang menyiarkan berita bertajuk ‘Cikgu sekolah tampil mendedahkan RM80 juta dirompak dari kementerian pendidikan’.

Blog itu memetik maklumat melalui aplikasi WhatsApp milik seorang guru yang musykil kenapa harga pembelian peralatan pembesar suara di sekolahnya terlalu mahal berbanding harga pasaran.

Menurut kenyataan itu, hasil siasatan dalaman KPM menunjukkan dua buah sekolah yang baru dibuka pada Mei lalu masing masing dibekalkan kemudahan seunit alat pembesar suara yang dibeli oleh Jabatan Pendidikan negeri Selangor dengan harga RM1,720 seunit dan harganya bukan RM6,000 seunit seperti yang didakwa

Malah pembelian juga disahkan melalui proses perolehan yang teratur dan mengikut prosedur kewangan.

“Malah guru yang memuat naik posting di laman Facebook beliau semalam 28 Disember juga mengakui kesilapannya, membuat pernyataan hari ini 29 Disember 2018, yang mengaku tersilap mendakwa hal tidak benar mengenai butiran harga alatan tersebut serta memohon maaf atas kekhilafan beliau.- MalaysiaGazette