Perubahan saiz Anak Krakakatu sebelum dan selepas letusan berlaku pada 22 Disember lalu.

JAKARTA – Anak Krakatau kehilangan dua per tiga daripada ketinggiannya dan tiga suku saiznya sejak ia meletus pada 22 Disember lalu.

Letusan gunung berapi itu mengorbankan lebih 400 orang dan mencederakan beberapa orang.

Agensi Geologi Indonesia berjaya mendapatkan visual hampir dengan Anak Krakatau selepas cuaca semakin baik pada hari Jumaat.

Gunung berapi itu terletak di Selat Sunda yang memisahkan Pulau Jawa dan Sumatra.

Berdasarkan gambar Anak Krakatau yang diambil, para penyelidik mengesahkan bahawa runtuhan besar berlaku akibat letusan sehingga saiznya merosot dari 338 meter hingga 110 meter, kata Antonius Ratdomopurbo, Setiausaha agensi itu.

“Sekarang ada potensi untuk Anak Krakatau mencetuskan tsunami semakin kecil,” tambah Antonius.

Gunung Anak Krakatau dianggarkan sebesar kira-kira 50 juta meter padu, atau kira-kira 25 peratus daripada saiz asalnya, kata Antonius.

Beliau menambah, agensi itu akan terus mengawasi aktiviti gunung berapi dalam beberapa hari mendatang sebelum mengkaji semula statusnya.

Pada hari Khamis lalu, Indonesia mengeluarkan amaran bahaya tahap tiga untuk Anak Krakatau – kedua tertinggi pada skala empat peringkat. Zon larangan di kawasan sekitar diperluaskan dari 2 kilometer kepada 5 kilometer. – MalaysiaGazette