PELABUHAN KLANG – Meskipun kawasan berhutan di Malaysia kini sudah mencecah 54.58 peratus, namun kerajaan tidak akan mengambil mudah terhadap kawasan sensitif alam sekitar di negara ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana kawasan berhutan masih lagi menunjukkan kadar penurunan demi mengejar pembangunan yang menguntungkan negeri-negeri tertentu.
“Komitmen kita dalam Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992 ialah 50 peratus, sekarang kita sudah mencapai 54.58 peratus setakat 2020.
“Ia bersamaan dengan 18.05 juta hektar tetapi trendnya masih lagi ke bawah, kita tak boleh ambil mudah.
“Masih ada tekanan pembangunan, masih ada lagi negeri-negeri yang menyahwartakan kawasan hutan atau kawasan sensitif alam sekitar,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pelancaran Rakan Bumi Initiative For Mangrove Planting Programme 2024 di Mangrove Point di sini.
Nik Nazmi juga melahirkan rasa kesal dengan Kerajaan Negeri Kelantan yang masih melakukan penyahwartaan kawasan berhutan demi mengejar pembangunan.
“Kita sebenarnya sudah salurkan hampir RM2 bilion untuk tebatan banjir, beratus juta ringgit untuk bekalan air, kita cuba bangunkan balik Pelabuhan di Tok Bali.
“Kemudian kita nyahwatakan satu kawasan hutan untuk keuntungan RM200 hingga 300 juta, lepas itu nak minta lagi bajet untuk tebatan banjir dan bekalan air, itu tak masuk akal.
“Saya faham di Kelantan dia punya hujah masih perlu lagi pembangunan tetapi kita kena bincang dengan baik, kita cuba mininumkan kepada alam sekitar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette