NILAI – Lima remaja dan seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik cemasĀ selepas terperangkap di atas batu di tengah Sungai Batang Labu Batu 9, Kampung Tebing Tinggi, di sini, dalam kejadian kepala air, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Bakarya Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 5.09 petang sebelum sembilan anggota BBP Nilai dan tiga anggota bomba sukarela terbabit dalam operasi menyelamat mangsa.
Katanya, mangsa terdiri daripada tiga remaja berusia 14, dua lagi mangsa berusia 16 dan 17 tahun dan seorang kanak-kanak 10 tahun terperangkap di atas batu sungai akibat kepala air susulan hujan lebat.
“Menurut mangsa, mereka sedang mencari telefon yang jatuh…pihak kami menggunakan teknik penyelamatan ‘high line’ bagi membawa keluar mangsa ke tempat selamat menggunakan jaket keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua mangsa diselamatkan pada jam 6.40 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – Bernama