PUTRAJAYA – Pelaksanaan hari pertama larangan merokok di semua premis makan mencatatkan sejumlah 1,435 notis amaran dikeluarkan oleh penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia.
Menurut menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, notis yang dikeluarkan oleh itu bukannya kompaun namun cuma amaran kepada perokok.
“Itu adalah surat amaran dan mungkin silap faham. Kami telah jelaskan itu adalah amaran dan tidak ada kompaun,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.
Media sebelum ini melaporkan terdapat kekeliruan oleh masyarakat yang menyangka bahawa notis amaran itu adalah kompaun.
Jelas Dzulkefly lagi, pihak penguat kuasa hanya dibenarkan mengeluarkan notis amaran dan bukannya kompaun.
“Secara jelas arahan kementerian adalah untuk tidak mengeluarkan kompaun dan yang kita keluarkan adalah surat amaran sahaja,” katanya lagi.
Semalam, Kementerian Kesihatan berkata, perlaksanaan kompaun larangan merokok hanya akan dilaksanakan selepas enam bulan larangan ituberkuatkuasa.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, bagi penggunaan rokok elektronik seperti vape dan shisha pula, kementerian perlu membuat ujian makmal terlebih dahulu bagi mengenalpasti samada produk tersebut mempunyai nikotin atau tidak sebelum sebarang tindakan diambil.
Perkara itu diambil kerana terdapat pertikaian antara pengguna vape dan shisha yang mendakwa produk tersebut tidak mengandungi nikotin.
“Jadi, pada saat itu ada pertikaian dan kita kena ambil sampel dan kita akan analisa kehadiran nikotin dan akan tangani perkara itu.
“Skop penggunaan nikotin akan sekaligus memasukkan vape dan shisha kalau wujud nikotin. Jadi, dalam definasi kandungan nikotin, secara automatik ia turut mengklasifikasikan produk ini sebagai ada nikotin. Tapi jika pengguna dakwa tidak ada kandungan nikotin maka kita akan bawa ke makmal untuk diuji.
Beliau semalam juga memberitahu bahawa peraturan merokok di semua premis makanan adalah tidak termasuk vape dan shisha. – MalaysiaGazette