Mendiang Presiden Parti IPF, Datuk M. Sambathan

KUALA LUMPUR – Jika benar amalan kronisme dan rasuah itu benar-benar ditentang oleh kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH), adalah lebih baik sekiranya Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berundur dari politik dengan cara baik.

Ini berikutan ‘pemikiran’ serta idealogi pemimpin itu masih lagi ditakuk lama terutamanya dalam isu-isu menyalahgunakan kuasa bagi memastikan survival politik serta peruntukan dana demi kepentingan sendiri dan bukan untuk rakyat.

Demikian luahan Presiden Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Datuk M. Sambathan berhubung kenyataan Abdul Rashid yang memberi cadangan supaya ketua bahagian dan cawangan partinya diberikan projek kerajaan kerana kini sudah memegang tampuk kuasa.

Kata Sambathan, apa yang lebih memeranjatkan, Pengerusi Bersatu merangkap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja tidak mengecam perbuatan Abdul Rashid, sebaliknya hanya melihat isu tersebut sebagai pandangan ‘peribadi’ semata-mata.

“Ada baiknya jika Abdul Rashid berundur cara baik kerana pemikiran anda sebenarnya berada di takuk lama, sama seperti tuduhan-tuduhan yang anda lemparkan sebelum ini kononnya UMNO dan BN mengamalkan rasuah serta tidak telus di mata rakyat.

“Apa yang dilontarkan oleh anda sendiri seolah-olah menghalalkan apa yang ditimpa oleh kerajaan terdahulu untuk berlaku lagi. Lebih baik anda bersara atau berundur sahaja. Jika kerajaan lama buat, itu bermakna menganiyai rakyat. Jika kerajaan kini buat, tidak apa?,”

“Jika tidak mahu berundur, adakah sebarang tindakan tegas akan diambil terhadapnya atau hanya mahu bagi alasan ianya hanya pandangan peribadi serta tidak perlu diperbesarkan. Cuba adil sikit dan pegang sikit dengan prinsip anda,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sambathan yang juga merupakan Ahli Dewan Negara mengulas kenyataan Abdul Rashid yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu mencadangkan agar ketua bahagian dan cawangan Bersatu diberikan projek kerajaan bagi memperoleh ‘wang lebih’ bagi kedudukan kuasa politik.

Abdul Rashid juga berdepan dengan pelbagai kritikan termasuk dari Bersih 2.0, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan juga pemimpin-pemimpin lain dalam kerajaan serta pembangkang.

Bagaimanapun, Tun Mahathir menegaskan cadangan tersebut tidak akan dipertimbangkan sebaliknya pemberian kontrak kerajaan hanya akan diberikan melalui proses tender sahaja.

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/01/bersatu-sudah-tonjolkan-wajah-sebenar-ipf/

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast