Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa cuba berdolak-dalih dalam menerima kenyataan sebenar yang berlaku dalam isu penyelewengan Lembaga Tabung Haji.

Sikap yang ditunjukkan oleh Presiden Pas itu adalah tipikal orang Melayu dahulu – yang lebih bimbangkan mendapat malu berbanding mengakui kenyataan sebenar.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli berkata, sebagai sebuah parti Islam, Pas sepatutnya paling gusar jika ada berlaku penyelewengan dalam Tabung Haji.

Namun, malangnya, Abdul Hadi terpaksa pula bermain politik dan mengheret sentimen perkauman dalam isu berkenaan.

Rafizi mendakwa Abdul Hadi dan Pas telah terperangkap apabila pendedahan lampaunya mengenai penyelewengan Tabung Haji telah dinafikan oleh mereka selepas mendapat taklimat daripada organisasi itu.

“Rombongan PAS mengunjungi Tabung Haji, mendapat taklimat dan seterusnya mengumumkan bahawa PAS berpuas hati dengan tadbir urus kewangan Tabung Haji, secara tidak langsung, menjadi ‘king maker’ dalam isu Tabung Haji dengan menghantar isyarat kononnya saya mereka-reka cerita mengenai Tabung Haji.

“Jadi, apabila bukti-bukti mula keluar bahawa apa yang saya bongkar itu betul, PAS terperangkap. Jika mereka bersetuju, jatuh air muka Presiden PAS kerana sebelum ini mereka juga yang menjadi panel ‘menyucikan’ penyelewengan di Tabung Haji,” katanya.

Rafizi berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Abdul Hadi  bahawa isu penyelewengan Tabung Haji diperbesar oleh media dan bukannya mahkamah untuk menjatuhkan imej orang Islam.

Abdul Hadi membuat kenyataan itu semasa di London.

Akibat daripada itu, kata Rafizi walaupun terdapat bukti-bukti kukuh, Abdul Hadi terpaksa bermain politik sekali lagi tetapi kali ini membina sentimen kebencian terhadap orang bukan Islam dengan menuduh kononnya ini sebahagian dari agenda menjatuhkan Islam, seolah-olah kerosakan kewangan di Tabung Haji itu tidak berlaku.

Rafizi mendakwa ini adalah permainan politik yang hebat dan bulat-bulat ditelan oleh penyokong PAS tetapi akibatnya telah menjadikan penabung Tabung Haji sebagai mangsa.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau faham jika Abdul Hadi keliru dengan beberapa alasan yang diberikan oleh Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin UMNO yang lain berhubung penyelewngan Tabung Haji.

Tetapi, pada pandangannya, Abdul Hadi wajar mendalami ilmu kewangan untuk mengetahui sejelas-jelasnya kedudukan kewangan Tabung Haji.

Mempertahankan pendedahan penyelewengan Tabung Haji dulu, Rafizi berkata, kerugian sebanyak RM549 juta dalam pelaburan-pelaburan Tabung Haji itu benar-benar berlaku.

Jelas beliau, sejak sedekad lalu, Tabung Haji melabur secara besar-besaran membeli anak-anak syarikat seperti dalam syarikat roti, syarikat kejuruteraan minyak TH Heavy Engineering (THHE), syarikat IT dan lain-lain.

Contohnya dalam THHE, Tabung Haji telah menyuntik dana dalam bentuk saham, pinjaman dan dana didahulukan apabila syarikat itu terus mengalami kerugian dan sahamnya terus merudum.

Beliau mendakwa sepanjang sedekad, Tabung Haji telah menyuntik melebihi RM600 juta ke dalam THHE tetapi akhirnya syarikat itu digantung kerana sudah mencecah tahap muflis.

“Kalau Tabung Haji menuntut kembali dana itu, ia tidak akan mendapat balik kerana THHE tiada lagi nilai,” katanya.

Jelas Rafizi, mengikut peraturan kewangan, pelaburan-pelaburan seperti ini mestilah direkodkan susut nilainya untuk menunjukkan nilai terkini yang realistik dan jumlah RM600 juta yang telah dilaburkan itu perlulah direkodkan sebagai susut nilai akibat kerugian pelaburan.

Tetapi Tabung Haji mengubah peraturan kewangannya agar susut nilai ini tidak direkodkan, bermakna ia menyembunyikan kerugian yang benar-benar telah berlaku supaya Tabung Haji dapat membayar dividen walaupun undang-undang tidak membenarkan dividen dibayar kecuali ia menjana keuntungan.

Apabila tiada keuntungan dan kerugian disembunyikan tetapi dividen tetap dibayar, maka wang dividen itu datang daripada wang penabung-penabung Tabung Haji.

Rafizi berkata, skim pelaburan begini tidak ubah seperti skim cepat kaya atau skim piramid iaitu memberi gambaran untung besar untuk menarik dana baru dan kemudian menggunakan dana baru itu untuk membayar keuntungan untuk membayar penabung asal dan lama-lama, piramid itu akan runtuh.

Sedangkan jika amalan ala skim piramid tidak dihentikan, akhirnya nasib Tabung Haji sama seperti nasib skim Pak Man Telo, ujarnya. – MalaysiaGazette