Caruman untuk pekerja 60 tahun sudah berkuatkuasa.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar minimum caruman berkanun syer majikan untuk pekerja wajib mencarum berumur 60 tahun ke atas akan dikurangkan kepada empat peratus sebulan.

Manakala kadar caruman syer pekerja pula adalah kosong peratus.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, kadar caruman minimum baharu itu akan bermula dengan gaji atau upah bulan Januari untuk potongan caruman bulan Februari tahun ini.

“Langkah untuk mengurangkan kadar caruman berkanun ini adalah berikutan cadangan kerajaan semasa pembentangan Bajet 2019 pada 2 November lalu, bagi membantu meningkatkan pendapatan boleh guna pekerja yang masih bekerja selepas mencapai umur 60 tahun,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Kata kenyataan itu lagi, pengurangan syer majikan kepada minimum empat peratus pula dapat menggalakkan peluang pekerjaan bagi pekerja yang melebihi umur 60 tahun.

Ini jelasnya, membolehkan penduduk yang berumur 60 tahun ke atas terus produktif dan aktif dalam ekonomi.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-892 26000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast