Sembilan Raja Melayu akan bermesyuarat esok bagi memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu yang akan bersemayam bagi tempoh lima tahun.
Berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim, istiadat pertabalan itu menandakan bermulanya secara rasmi pemerintahan lima tahun Sultan Abdullah sebagai ketua negara Malaysia.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan timbalannya akan diadakan pada 24 Jan ini, menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Beliau berkata perkara itu diputuskan oleh Raja-raja dalam pertemuan pada 10.30 pagi tadi di Istana Negara yang turut menetapkan Mesyuarat Khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong yang baharu dan timbalannya akan diadakan pada 31 Jan ini.

Perjumpaan itu dihadiri oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pertemuan itu susulan pengumuman Sultan Muhammad V untuk melepaskan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa semalam.

Syed Danial dalam kenyataan itu berkata Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah tidak berangkat menghadiri pertemuan itu kerana kurang sihat manakala Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berada di luar negara.

Menurut Syed Danial, Raja-raja yang hadir dalam perjumpaan tersebut turut mengambil maklum dan menghormati hasrat Sultan Muhammad V untuk berundur diri dan meletakkan jawatan berkuatkuasa semalam.

Raja-raja juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat yang telah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, laksanakan dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong mulai 13 Dis 2016 sehingga 6 Jan 2019, katanya.

— BERNAMA