LANGKAWI – Team Hollywood dari Australia dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas Racing pada Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) ke-17 yang berakhir hari ini.
Ketua pasukannya, Ray Roberts berkata, permulaan yang baik sejak Selasa lalu dan semangat pasukan yang berada pada tahap tinggi membuatkan mereka merangkul kejuaraan itu buat kali pertama.
“Minggu ini adalah yang terbaik dalam perlumbaan yang kami sertai, angin amat konsisten sehinggakan ada kapal yang patah layarnya, namun pasukan kami dapat mengharungi segala kesulitan dan dapat perlumbaan yang baik semasa di perlumbaan akhir.
“Kami ada pesaing yang kuat, antaranya daripada pasukan Thailand, THA52 dan dua pasukan Angkatan Tentera Laut. Setiap kali kami di hadapan, mereka tetap beri persaingan yang kuat,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Untuk rekod, ini adalah kemenangan ketujuh buat Ray Robert sejak 2006 dengan pasukan Evolution Racing, Quantum Racing, dan Ulumulu Quantum Racing.
Pasukan itu merampas gelaran juara daripada THA72 dari Thailand dengan kutipan sembilan mata keseluruhan.
THA72 yang dikemudi Kevin Whitcraft terpaksa akur berada di tempat kedua dengan ketinggalan 8 mata.
Kapal TP52 series itu turut disertai dua pelayar adik-beradik berpengalaman negara, Khairulnizam Mohd Afendy dan Khairunhanna.
“Kami gembira untuk dapat juara keseluruhan.
“Pasukan kami terdiri daripada seluruh negara terutamanya dua anak tempatan. Kami pastinya akan kembali tahun depan lagi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette