KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang mengesahkan DAP membayar sebanyak RM20 seorang kepada 60 penunggang motosikal dalam kalangan Orang Asli.
Penasihat DAP itu mempertahankan kejadian itu bukan beli undi seperti yang didakwa oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) tetapi ia adalah pembayaran balik kos petrol sukarelawan Pakatan Harapan (PH).
Bahkan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mencabar BN untuk mendedahkan perbelanjaan yang digunakan untuk para penyokongnya dan kos-kos lain semasa PRK yang lain.
“Kami tidak takut tentang kebenaran bahawa tiada pembabitan beli undi.
“Adakah Barisan Nasional bersedia untuk mendedahkan perakaunan awam sepenuhnya tentang berapa ramai orang yang digerakkan untuk pencalonan semalam dan jumlah perbelanjaan yang terlibat serta menjawab semua pertanyaan tentang perbelanjaan kewangan semasa pilihan raya kecil?,” soalnya.
Menurut Kit Siang, Arvind Bharet, pembantu kepada Ketua Operasi Jelai Harapan telah menjelaskan bahawa imej yang tular di media sosial menunjukkan sukarelawan parti di Cameron Highlands sedang membayar balik kos perbelanjaan mereka semasa menghadiri penamaan calon.
Pembiayaan bayaran itu akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan kempen.
Wanita yang berbaju merah itu dikenali sebagai Vanessa, seorang Dusun-Punjabi dari Kota Kinabalu yang merupakan seorang sukarelawan Impian Malaysia sejak tahun 2014. Beliau adalah graduan Komunikasi Massa yang melakukan kerja sosial secara sukarela melalui Impian Malaysia di seluruh negara.
Dia dilantik mengendalikan penunggang motosikal Orang Asli yang keluar dari kampung-kampung Orang Asli untuk penamaan calon.
Kit Siang berkata, terdapat 60 penunggang motosikal dan mereka dibayar sebanyak RM20 setiap seorang, selain terdapat empat kereta dan empat bas untuk Orang Asli tetapi ia bukan di bawah kendalian Vanessa.
Beliau mengajak pengundi-pengundi Cameron Highlands untuk menjadi mata dan telinga supaya melaporkan sebarang kejadian beli undi atau amalan rasuah bagi memastikan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung di situ menjadi pilihan raya terbersih dalam sejarah negara.
Malah, beliau turut mengajak semua parti politik dan calon yang bertanding untuk bekerjasama untuk menjadikan PRK Cameron Highlands sebagai pilihan raya paling bersih dalam sejarah Malaysia dengan membuat pendedahan segera mengenai perbelanjaan pilihan raya apabila disoal kelak. – MalaysiaGazette