Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien (tengah) beramah mesra dengan sebahagian penduduk setempat ketika sesi walkabout bagi membantu Calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Tapak Pasar Pagi Brincang, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – “Cukup-cukuplah kita melayani spekulasi dan konspirasi, menuding, saya menjadi mangsa sudah enam bulan,” demikian kata bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurut beliau, sudah sampai masanya pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO kembali bersatu dan tidak melayani spekulasi yang dilakukan pihak mempunyai agenda peribadi.

“Empat orang itu merupakan mereka yang masih ada pengaruh dalam parti dan sedikit sebanyak saya diberitahu gambar itu melegakan kerana banyak sangat spekulasi.

“Saya sendiri pun orang kata sudah keluar UMNO, nak masuk Bersatu, lepas itu nak jadi Setiausaha Agung UMNO pula.

“Saya pun tak faham hari-hari ada spekulasi baru, tapi ini tak sihat untuk parti kita,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melakukan walkbout bagi membantu calon BN, Ramli Mohd Nor di tapak pasar pagi di Brinchang hari ini.

Semalam, sekeping gambar tular di media sosial menunjukkan Hishammuddin bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan duduk bersama selepas makan malam di sebuah tempat.

Gambar empat pemimpin UMNO ini turut menjadi spekulasi baharu terhadap Hishammuddin yang sebelum ini dituduh sebagai ‘orang bangsawan’ menjadi dalang untuk membawa 30 ahli Parlimen UMNO keluar parti.

Hishammuddin berkata, PRK Cameron Highlands bakal menjadi pemangkin untuk menyedarkan semua pihak siapa yang setia dengan parti dan siapa pula mencari kepentingan peribadi.

“Jangan beri dia ruang untuk melaga-lagakan kita lepas ini. Kalau dulu kata saya keluar tapi saya masih di sini kempen untuk BN di sini, kalau kata saya nak masuk Bersatu saya tak masuk Bersatu.

“Ada mereka kata saya nak pakat bawa 30 ahli parlimen keluar, berapa orang sudah ada (keluar parti).?

“Jadi, ini bukan perkara yang menjadi spekulasi lagi, apa yang digembar-gemburkan dulu hingga sekarang ini tidak menjadi kenyataan, jadi mereka betul-betul fitnah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/16/kami-sepakat-demi-masa-depan-parti-ummah-dan-negara/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast