LONDON – Bintang sensasi Tottenham Hotspur, Harry Kane terpaksa diketepikan sehingga Mac ini berikutan kecederaan ligamen.
Europsport melaporkan penyerang berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan ketika tewas 0-1 kepada Manchester United di Stadium Wembley pada Ahad lalu.
Selepas insiden itu, tahap kecederaan Kane menjadi samar sebelum kelab itu mengumumkan Kane terpaksa berehat panjang.
“Keputusan pemeriksaan awal mendapati ligamen kaki kiri Harry Kane cedera ketika perlawanan Ahad lalu.
“Dia akan terus dipantau oleh pasukan perubatan kelab dan menjalani pemulihan serta dijangka akan kembali menjalani latihan awal Mac ini,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Ini bermakna, Kane bakal terlepas aksi separuh akhir kedua Piala Carabao menentang Chelsea di Stamford Bridge pada 24 Januari ini dan serta 27 Februari.
Dia juga bakal terlepas saingan pertama 16 pasukan Liga Juara-Juara bertemu Broussia Dortmund di Stadium Wembley pada 16 Februari. – MalaysiaGazette