Timbalan Pendakwaraya, Hamdan Hamzah sebagai pegawai pengendali inkues kematian seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim bercakap kepada media di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 JANUARI 2019

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan tiga bulan untuk mendengar prosiding inkues kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Hakim Koroner, Rofiah Mohamad menetapkan 11 hingga 28 Januari, 1, 4, 5 dan 19 hingga 29 Mac serta 1 hingga 12 April ini sebagai tarikh pendengaran.

Pendakwaraya yang diketuai Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah akan mengemukakan seramai 30 saksi melibatkan golongan profesional seperti doktor dan pakar forensik, anggota Bomba dan Penyelamat, orang awam, keluarga Muhammad Adib dan polis.

Pendengaran pertama bermula hari ini berlangsung di Mahkamah Sesyen 8 dan Allahyarham Muhammad Adib diwakili seramai enam peguam.

Kumpulan peguam bela yang diketuai Mohd. Kamaruzaman A. Wahab turut mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Manakala Majlis Peguam diwakili peguam, Cyrus Tin Foo Woei; Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) oleh Mansoor Saat dan Task Force Kuil Sri Maha Mariamman, Siti Kassim.

Siti Kassim bagaimanapun tidak hadir pada hari ini menyebabkan Ropiah memintanya hadir pada 31 Januari ini pukul  jam 11 pagi.

Sementara itu, Hamdan yang merupakan timbalan pendakwaraya memberitahu, pihaknya sudah bersedia dengan saksi bagi pendengaran kes itu dan tidak ada masalah dengan penetapan selama tiga bulan untuk inkues itu.

Katanya, sepanjang pendengaran itu pihaknya meminta izin mahkamah supaya menyediakan layar putih bagi membolehkan pihaknya menayangkan video rusuhan di Kuil Sri Mariamman dan gambar yang melibatkan kehadiran Muhammad Adib untuk memadamkan kebakaran.

Mahkamah membenarkan permintaan itu dan turut meminta semua pihak yang terlibat dengan pendakwaan dan pembelaan agar memastikan bersiap sedia dengan prosiding itu.

Ditanya mengenai siasatan polis berhubung kes kematian Muhammad Adib di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Hamdan memberitahu, beliau hanya mengendalikan inkues. – MalaysiaGazette