KUALA LUMPUR – Polis menahan empat rakan serumah seorang ibu tunggal warga Indonesia yang ditemui mati dipercayai dibunuh di rumah sewanya di Taman Universiti, Seri Kembangan dekat sini petang semalam, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan berkata, dua lelaki dan dua wanita Indonesia terbabit direman lima hari hingga Khamis depan.

“Motif kejadian disyaki disebabkan perselisihan faham atau cemburu akibat orang ketiga iaitu kekasih atau teman lain.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mempunyai teman lelaki warga Indonesia yang pernah mengajak mangsa berkahwin. Polis sedang mengesan teman lelaki mangsa yang melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, telefon bimbit milik mangsa turut hilang dipercayai dilarikan oleh suspek dan polis kini sedang giat mengesan suspek berkenaan.

Ismadi berkata, bedah siasat ke atas mayat mangsa di Hospital Serdang pada 1 tengah hari tadi mendapati punca kematian disebabkan kemungkinan jerutan pada leher.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiada kecederaan lain termasuk kecederaan seksual.

Semalam, mayat ibu tunggal yang dikenali sebagai Jamilah Mat Shaari, 33, ditemui tanpa pakaian di atas katil di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan oleh rakan serumah yang juga dipercayai adik iparnya pada 5 petang, sebaik pulang dari tempat kerja.

Pembantu rumah sambilan itu yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 10 tahun menyewa di rumah berkenaan bersama empat lagi. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast