Datuk Bentara Luar, Allahyarham Mohammed Salleh Perang.

KULAI – Waris keturunan Datuk Bentara Luar, Mohammed Salleh Perang menuntut kerajaan negeri untuk menyerahkan harta warisan milik allahyarham yang dianggarkan bernilai sehingga RM300 bilion kepada waris yang berhak.

Wakil Waris Pentadbirnya, Mohd. Zaini Aris berkata, penyerahan harus dilakukan secara jujur, amanah dan berhemah kerana pihaknya mempunyai dokumen yang sah seperti geran tanah.

Jelas beliau, geran itu membuktikan allahyarham masih mempunyai aset-aset di beberapa daerah yang hingga kini masih belum dipindah milik kepada waris yang berhak.

“Kami mempunyai dokumen yang telah disahkan bahawa Allahyarham masih mempunyai aset yang belum dipindah milik di sekitar negeri ini.

“Justeru, kami selaku waris berharap perkara ini boleh diselesaikan dengan baik kerana sebelum ini terdapat halangan dan gangguan daripada pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan ia berlanjutan,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang akhbar di Orchard Golf and Resorts, di sini semalam.

Mohd. Zaini mendakwa mereka telah berusaha mendapatkan harta pusaka berkenaan pada 2016 dengan bantuan peguam namun tidak dapat diteruskan kerana dipercayai dihalang pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami mendapati satu salinan sijil kematian Almarhum telah dikeluarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dari Jabatan Pendaftaran Negara tanpa perintah mankamah dan persetujuan pentadbir dan waris.

“Akibatnya, kes ini berlanjutan buat sekian lama tanpa sebarang penyelesaian kerana terdapat halangan dan gangguan daripada pihak tidak bertanggungjawab yang telah memasukkan kaveat,” katanya.

Menurut Mohd. Zaini, sehingga hari ini terdapat seramai 4,000 waris yang berhak ke atas harta tersebut membabitkan lapan generasi.

Beliau berkata mengikut rekod, Almarhum mempunyai seramai 4,000 waris hasil perkahwinan dengan empat isteri dan 10 anak.

Mengikut sejarah, Datuk Mohamed Salleh merupakan insan penting dalam kemodenan negeri Johor kerana berperanan merancang pembangunan Johor.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya dari tahun 1856 hingga 1952, almarhum pernah memegang jawatan sebagai jurutulis di pejabat kerajaan dan pesuruhjaya polis negeri selain turut terlibat dalam menyelesaikan isu persempadanan Johor-Pahang, membantu membuka bandar Mersing, Bandar Maharani di Muar dan Batu Pahat serta mengetuai penyelesaian perang Jementah.

Pada tahun 1886, almarhum telah menerima Anugerah Bintang Seri Paduka Mahkota Johor dengan gelaran Dato’ Bentara Luar. – MalaysiaGazette