Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin meninjau perumah moden orang asli ketika sesi walkabout bagi membantu Calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sungai Ruil, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 20 JANUARI 2019.

TANAH RATA – Kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) cuba disembunyikan daripada rakyat dengan memainkan semula isu lama termasuk skandal 1MDB dan Tabung Haji.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, cara itu lebih mudah untuk menutup kelemahan parti pemerintah itu daripada menjanjikan perkara baharu untuk rakyat Cameron Highlands.

“Setahu saya beberapa hari lepas bantuan kepada Felda belum selesai lagi. Saya difahamkan Menteri Felda ada datang hari ini ke Cameron Highlands mungkin nak selesaikan sebelum pilihan raya.

“Mereka cuba mengungkit isu-isu lama sebab bagi sebahagian besar daripada rakyat melihat kos sara hidup lebih rendah masih tidak menjadi kenyataan, malah rakyat sekarang ini mengeluh.

“Bukan saja dari segi harga komoditi tetapi bantuan kewangan, harga barang tidak turun. Jadi mereka terpaksa mendendangkan lagu-lagu lama ini, hutang lama dan sebagainya.

“Ini disebabkan mereka tiada isu baharu yang nak disajikan kepada rakyat sebagai perancangan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya pada sidang media ketika majlis ramah mesra bersama masyarakat orang asli di Kampung Sungai Ruil, di sini, hari ini.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media selepas beramah mesra dengan sebahagian penduduk orang asli ketika sesi walkabout bagi membantu Calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sungai Ruil, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 20 JANUARI 2019.

Khairy Jamaluddin juga menegaskan, BN tidak gentar kepada mana-mana pihak yang mahu turun ke Cameron Highlands untuk membantu calonnya, M.Manogaran.

“Tidak (gentar), kita terus dengan kempen kita, saya difahamkan Perdana Menteri akan turun pada hari terakhir atau dua hari terakhir kempen dan beliau akan turun ke kawasan Sungai Koyan khususnya gugusan Felda di sana.

“Sebab kawasan itu menjadi tumpuan untuk kedua-dua belah pihak sebab banyak undi di situ tetapi bagi saya percaya dan yakin kita akan terus dengan strategi kempen.

“Kita tidak gentar siapa pun turun cuma luar biasa sikit, dulu Perdana Menteri pun pernah turun pilihan raya tetapi jarang sekali perdana menteri turun pilihan raya kecil.

“Ini juga menggambarkan bahawa PH ambil serius dan agak cemas dengan pendekatan BN setakat ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette