KUALA LUMPUR – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron highlands berkait rapat soal kerjasama UMNO dan Pas.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama itu membawa makna besar kepada BN yang mendapat kemenangan besar undi Melayu dan masyarakat Orang Asli.
Katanya, sudah pasti kerjasama itu harus diteruskan oleh UMNO dan Pas untuk menerajui sebuah perjuangan agama dan bangsa secara bersama.
“Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada seluruh jentera UMNO, Pas, MCA, MIC, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang turun membantu BN sepanjang tempoh kempen.
“Sudah pasti kemenangan ini merupakan kebangkitan Melayu, Bumiputera dan Islam, di samping kemenangan batang tubuh calon BN yang sudah bergelar YB Ramli Mohd Nor,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Dalam PRK semalam, Ramli menang dengan majoriti 3,238 undi setelah mendapat 12,038 undi, mengalahkan calon DAP, M Manogaran yang menperoleh 8,800 undi.
Dua calon bebas, Sallehuddin Ab Talib yang memakai simbol buku mendapat 314 undi, manakala Wong Seng Yee yang menggunakan simbol cangkul hanya meraih 276 undi.
Menurut Ismail Sabri, kemenangan Ramli mencipta satu sejarah baru kepada masyarakat Orang Asli kerana pertama kali mempunyai Ahli Parlimen dari kaum mereka.
Kemenangan itu, katanya, jelas menunjukkan kebangkitan rakyat menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menjaga kebajikan rakyat dan mentadbirkan negara dengan baik.
Kata beliau, dengan pelbagai krisis yang timbul dalam kerajaan PH, rakyat telah menggunakan kuasa untuk memberikan isyarat jelas bahawa mereka bersedia untuk menolak kerajaan yang menunaikan tanggungjawab dan amanah.
“Ini adalah referendum rakyat. Mereka sudah jelak dengan kerajaan PH yang tidak habis-habis memfitnah dan menyalahkan BN, tetapi pada masa sama gagal menyelesaikan masalah seperti kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Walaupun pemimpin PH menabur pelbagai janji baru khusus untuk pengundi Cameron Highlands, namun rakyat tidak mempercayainya bersandarkan kegagalan mereka menunaikan janji PRU14.
“Bagi rakyat, PH adalah kerajaan yang langsung tidak ada tanggungjawab terhadap janjinya dan kerajaan begini harus ditolak,” katanya.
Beliau turut kagum dengan kemenangan BN yang mendahului dalam undi awal dan undi pos, yang jelas menunjukkan kakitangan kerajaan juga tidak meyakini kerajaan hari ini. – MalaysiaGazette