Zainal Abidin Hassan. Foto Arkib MalaysiaGazette

MELAKA – Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan beranggapan Liga Super musim ini pasti menjanjikan persaingan sengit apabila pasukan bertanding berjaya mempersiap pasukan masing-masing ke tahap yang terbaik.

Beliau berkata, setiap pencabar seperti Johor Darul Takzim (JDT), Pahang, Kedah, Selangor, Terengganu termasuk Melaka United telah membuat persediaan rapi dengan membawa masuk pemain import dan tempatan yang terbaik.

Pengendali berusia 58 tahun itu turut menyuarakan keyakinan tinggi dengan skuad bimbingannya yang dibentuk bagi musim 2019 itu mampu melangkah jauh selain bertekad untuk mencapai sasaran yang diletakkan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA).

“Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri yang juga Presiden MUSA, (Adly Zahari) yang memberi kepercayaan untuk kita membentuk dan memiliki satu pasukan seperti yang ada sekarang.

“Kita berkeyakinan dengan kekuatan yang ada pada Melaka United, namun kita tidak mahu lihat ia kelebihan di atas kertas (memiliki pemain berpengalaman) tetapi ianya berdasarkan prestasi terbaik dapat dikekalkan oleh setiap pemain,” katanya kepada Bernama.

Zainal berkata, dengan kemasukan pemain import kelima, pemain kebangsaan Filipina, Patrick Reichelt selain bekas import Kedah, Liridon Krasniqi yang berada dalam skuadnya sejak minggu lepas beliau berharap keserasian mereka dapat diterapkan dengan kadar segera.

Terdahulu pada aksi persahabatan pramusim terakhir malam tadi, skuad bimbingan Zainal Abidin mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas pasukan Liga Premier, UiTM FC.

Melaka United mendahului seawal minit ke-14 menerusi Safiq Rahim dan Anselmo Casagrande pada minit ke-22 seterusnya pemain import dari Filipina, Patrick Riechelt menambah jaringan pada minit ke-66.

Skuad Hang Tuah bakal memulakan aksi pertama Liga Super 2019 bertemu Petaling Jaya City FC, pada 2 Februari depan di Stadium Hang Jebat.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast