Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 27, mengakui, semua itu berpunca daripada dirinya yang lalai dan berharap peminat bersedia memaafkan kesilapannya.
“Memang salah saya, bukan salah kawan, keluarga atau sesiapa. Jangan salahkan mereka atas kelalaian saya.
“Terima kasih kepada semua yang menasihati saya. Kepada yang marah, kecewa atau sedih, saya minta maaf.
“Walaupun ramai yang cakap, minta maaf kepada Allah, saya tetap mahu memohon maaf sesama manusia. Saya tidak sempat membalas komen satu persatu kerana terlalu banyak,” katanya.
Menerusi di laman Instagramnya juga, Emma turut berterima kasih kepada peminat yang masih setia menyokong dan positif dengan apa yang dilaluinya.
Pagi ini, Emma mencetuskan kontroversi apabila gambar mesranya tanpa bertudung bersama seorang jejaka menjadi tular.
Difahamkan, gambar pelakon genit yang kini berhijab bersama jejaka itu dirakamkan kira-kira seminggu lalu.
Emma sebelum ini, dikatakan menjalin hubungan mesra dengan jejaka berusia 30 tahun itu apabila memuat naik gambar bersama ketika bercuti di Dubai pada 19 Januari lalu. – MalaysiaGazette