Foto Instagram Linda Rafar

SHAH ALAM – Penyanyi Azlinda Rafar atau dikenali Linda Rafar akan menuntut permohonan maaf ke atas lebih 100 individu yang memuat naik status dan memberi komen mengenai beliau serta ahli keluarganya.

Ia susulan luahan rasa kecewa terhadap layanan buruk diberikan sekumpulan jururawat di lokasi ibunya, Rasimah Abd Rahman, 73, dirawat di sebuah hospital di sini, yang menerima pelbagai reaksi.

Peguam yang mewakili Linda, Nurul Hafidzah Hassan berkata, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat mengenai kata-kata buruk yang mempunyai elemen fitnah terhadap anak guamnya itu.

“Pihak berkenaan seolah-olah menangguk di air keruh dengan mengeluarkan komen yang berbaur fitnah. Ketika ini, kami masih dalam proses mengumpul butiran lanjut individu berkenaan.

“Selepas itu, kami akan hantar notis dalam masa tempoh sebulan bermula hari ini untuk mereka membuat permohonan maaf secara terbuka selepas notis berkenaan diterima.

“Tindakan lanjut akan diambil mengikut undang-undang supaya tiada lagi spekulasi masyarakat terhadap anak guam saya serta keluarganya. Jika notis tuntutan itu tidak dijawab, tindakan saman bakal diambil,” katanya memetik laporan BH Online di sini, hari ini.

Selain Linda, turut hadir, suaminya, Syed Aiman serta beberapa ahli keluarga termasuk adiknya, Diana Rafar.

Dalam pada itu, kata Nurul Hafidzah, kes membabitkan saman seorang jururawat yang bertugas di Kuala Lumpur terhadap anak guamnya itu sedang berjalan di Mahkamah Shah Alam.

“Berkaitan notis tuntutan permohonan maaf kepada seorang jururawat yang tular di media sosial baru-baru ini, kami hanya menerima surat berkenaan pada 8 Januari lalu.

“Namun, surat berkenaan tular di media sosial pada 2 Januari lalu sebelum notis itu diterima. Kami juga sudah menjawab notis surat berkenaan selepas tiga hari ia diterima,” katanya.

Sementara itu, Linda berkata, selepas ibunya meninggal dunia pada 11 Januari lalu, beliau menyangkakan isu berkenaan sudah reda namun sangkaannya meleset apabila ia bertambah buruk.

“Disebabkan perkara ini, perniagaan saya dan ahli keluarga lain turut terkesan. Sejak kejadian itu, kami tidak mampu berhadapan dengan masyarakat.

“Apa yang dilakukan hari ini sebagai pengajaran kepada netizen yang sewenang-wenangnya menulis komen yang berbaur fitnah dan mengaibkan kami sekeluarga,” katanya. – MalaysiaGazaette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast