Datuk Seri Mujahid Yusof
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa hari ini mengesahkan pelantikan wakil rakyat DAP sebagai ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Katanya lagi, pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Omar yang juga Exco Pembangunan Keusahawanan Koperasi, Ekonomi Kreatif negeri Johor itu mendapat persetujuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dia dilantik atas kelayakannya sebagai orang yang mempunyai latar belakang agama untuk memberi sumbangan kepada Yadim,” katanya pada sidang media hari ini.

Malah, beliau berpendirian bahawa pelantikan itu tidak menimbulkan masalah memandangkan dia mempunyai pemahaman Islam yang jelas.

“Baguslah, ini kali pertama. Dia seorang Islam, ada merit dan sumbangan idea yang baik. Saya kenal dia sewaktu terlibat sebagai aktivis lagi.

“Hanya kerana dia ahli DAP dan kita nafikan haknya, maka tidak betullah,” tambahnya.

Menurut beliau, Sheikh Omar antara beberapa orang yang dilantik bagi mengisi kekosongan selepas pelantikan awal.

Difahamkan, Sheikh Omar akan dilantik untuk tempoh 2 tahun dan watikah pelantikannya akan disampaikan oleh Mujahid di Putrajaya esok.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast