KUALA LUMPUR – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sebuah kilang sarung tangan getah di Bandar Baru Salak Tinggi Sepang.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan hari ini berkata, kilang itu mendapati gagal membayar gaji pekerja asing yang kemudian terlibat mogok menuntut tunggakannya.

Katanya JTK telah dimaklumkan oleh polis mengenai mogok pekerja asing itu terhadap Syarikat WRP Asia Pacifik Sdn.Bhd. pada 29 Januari lalu.

“JTK bersama-sama Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) telah hadir ke premis majikan untuk mengenalpasti punca sebenar pekerja-pekerja melakukan mogok dan turut dihadiri Kedutaan
Bangladesh dan Kedutaan Nepal.

“Hasil siasatan JTK mendapati mogok itu disebabkan kegagalan majikan membayar gaji mereka sejak November 2018 hingga Januari ini.

“Kesalahan lain yang turut dilakukan majikan adalah lewat membayar upah kerja lebih masa, potongan upah secara tidak sah, pengiraan upah kerja pada hari rehat, upah kerja lebih masa pada hari rehat, pengiraan upah kerja lebih masa pada hari biasa, upah kerja pada hari kelepasan am dan upah kerja lebih masa pada hari kelepasan am,” kata JTK dalam kenyataan itu.

Menurut JTK, perbincangan bersama pihak pengurusan majikan telah diadakan dengan disertai JPP, Kedutaan Bangladesh dan Kedutaan Nepal.

Hasilnya, syarikat berkenaan memberi persetujuan menyelesaikan tinggakan bayaran gaji pokok serta upah kerja lebih masa pekerja asing itu iaitu sebelum pada atau sebelum 28 Februari tahun ini.

“Pada masa yang sama, JTK mendapat kebenaran mendakwa terhadap kesalahan yang telah dilakukan majikan dan pendakwaan di mahkamah akan dibuat dalam masa terdekat.

“Tindakan itu sebagai memastikan kesalahan sama tidak berulang selain menjadi peringatan untuk majikan lain,” tegas JTK dalam kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast