Foto Facebook rasmi The Royal Johor

KUALA LUMPUR – Spekulasi mengenai rumah tangga Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah dan suami, Dennis Muhammad Abdullah yang didakwa bermasalah kini terjawab.

Laman Facebook Diraja Johor menafikan dakwaan tersebut tidak benar selain menyifatkan ‘serangan’ itu berniat jahat.

Laman itu turut meluahkan rasa kecewa terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan khabar angin tidak berasas mengenai kehidupan peribadi mereka.

Tunku Aminah dalam satu kenyataan kepada Pejabat Media Diraja Johor juga menyuarakan rasa kurang senang terhadap khabar angin yang disiarkan di media sosial mengenai rumah tangganya.

Ini termasuk dakwaan mengenai ‘urusan perniagaan’ membabitkan produk penjagaan kulit dan pelangsingan.

“Saya dan suami berbahagia, tidak benar dengan apa yang dikatakan menerusi khabar angin.

“Saya juga tidak menyokong mana-mana produk seperti yang ditulis oleh pihak tidak bertanggungjawab ini yang menggunakan nama saya untuk meraih perhatian,” katanya.

Facebook The Royal Johor pada malam tadi turut memuat naik paparan skrin posting mengenai khabar angin bahawa Tunku Amin mempertimbangkan untuk mengakhiri hubungannya bersama Dennis.

Menurut kenyataan itu juga, aduan dilaporkan kepada laman sosial Facebook tidak mengambil tindakan serta-merta.

“Keluarga Diraja Johor berharap tindakan segera akan diambil oleh Facebook untuk menarik kandungan berniat jahat, sejajar dengan ikrar syarikat itu untuk memastikan berita palsu ditangani dengan tegas,” tambah kenyataan itu.

Tunku Aminah yang merupakan puteri tunggal Sultan Johor mendirikan rumah tangga dengan Dennis warganegara Belanda pada 14 Ogos 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast