Harnarain Singh Gill
Harnarain Singh Gill

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Minoriti (MBC) menyarankan kerajaan membuat keputusan memansuhkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan syarikat dari China.

Sebaliknya, jika kerajaan mahu meneruskan, ia boleh dilaksanakan sebagai projek kebangsaan oleh syarikat tempatan yang mempunyai kepakaran membina sendiri ECRL tanpa bergantung kepada kemahiran asing.

Menurut Naib Pengerusi MBC, Harnarain Singh Gill, projek ERCL kebangsaan akan memberi manfaat lebih besar kepada rakyat, selain menyumbangkan rantaian bekalan tempatan sehingga kepada peningkatan ekonomi negara.

“Projek kereta api KTM Komuter, LRT, kereta api Monorail, KLIA, Putrajaya dan Lebuhraya Utara Selatan semuanya hasil projek kebangsaan yang berjaya dan telah memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

“Lagipun ERCL yang telah dimeterai kerajaan dahulu dengan China bukan suatu keperluan mendesak, dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh membatalkannya.

“Tambahan pula projek ini telah terkait dengan skandal 1MDB, kes kleptokrasi terbesar di dunia yang menyumbangkan lagi imej buruk kerajaan baharu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Menurut Harnarain Singh, kebanyakan projek utama China di dunia berisiko tinggi, selain kadar faedah pinjaman terlalu tinggi dan mengambil masa terlalu panjang untuk sesebuah negara melangsaikan hutang.

“Saya juga difahamkan berlaku syarat kontrak yang tidak adil oleh syarikat dari China yang hanya memihak kepada satu pihak sahaja.

“Ini membolehkan China menekan negara peminjam itu dan akhirnya masuk dalam perangkap hutang sehingga aset utama negara itu seperti pelabuhan, lapangan terbang dan lebuh raya dirampas.

“Kita harus ingat landasan keretapi adalah aset strategik nasional dan sebahagian daripada keselamatan negara, oleh itu Malaysia tidak boleh mengambil risiko yang membolehkan aset penting itu jatuh ke tangan asing. Kita lihat bagaimana perkara ini berlaku di Sri Lanka dan negara Afrika,” katanya.

Beliau menambah, projek ECRL yang terlalu mahal itu sebenarnya tidak memberi apa-apa kebaikan kepada negara, rakyat dan rantaian bekalan tempatan.

Ini kerana, kebanyakan tenaga kerja dan bahan mentah diimport dari China, seolah bahan itu tidak terdapat di Malaysia.

Oleh itu, katanya, tidak masuk akal bagi MBC untuk kerajaan sekarang memberikan projek ECRL itu kepada China.

Kata beliau, MBC menyokong sepenuhnya keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam menangguh dan kemungkinan membatalkan projek itu.

“Sama seperti pembatalan projek High Speed ​​Rail (HSR) dengan Singapura, kami menyokong idea tidak membenarkan kadar faedah tinggi untuk membebani generasi masa depan kita.

“Kita percaya China akan dapat memahami bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang perlu menarik projek itu dan menghalang perbelanjaan yang tidak perlu.

“Selanjutnya, kami menggalakkan lebih banyak sesi dialog yang sihat antara Malaysia dan China untuk mencapai satu penyelesaian yang baik untuk isu ECRL ini,” katanya. – MalaysiaGazette