Ketua Pembangkang Venezuela mengakui mengadakan pertemuan rahsia dengan tentera untuk meraih sokongan menolak Maduro

VENEZUELA – United Kingdom, Jerman, Sepanyol dan beberapa negara Eropah mengiktiraf ketua pembangkang Venezuela, Juan Guaido sebagai presiden sementara di negara berkenaan.

Tindakan itu menyusul selepas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro menolak nasihat dan desakan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengadakan pemilihan semula jawatan presiden negara itu.

Justeru, Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara di negara yang dilanda krisis teruk itu sejak awal Januari lalu.

Guaido juga berjaya meraih sokongan Amerika Syarikat (AS) untuk terus membawa peralihan kuasa manakala Rusia pula menyebelahi Maduro dan mendakwa negara-negara yang menganggotai EU mencampuri hal ehwal negara Venezuela.

Tekanan semakin meningkat mendesak Maduro berundur dari jawatan presiden tetapi Maduro tidak menolak kemungkinan tercetus perang saudara.

Dalam satu temubual khas dengan Stesen TV di Venezuela, Maduro memberi amaran bahawa Presiden AS, Donald Trump mungkin akan meninggalkan White House dengan ‘kesan darah’ jika mengganggu konflik di negaranya.

Guaido pula mendakwa perlembagaan negara itu membenarkan dirinya menjadi presiden sementara jika presiden dianggap tidak sah di sisi undang undang dan sekiranya sesuatu pilihan raya dipersoalkan.- MalaysiaGazette