KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menafikan tuduhan Pakatan Harapan (PH) kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menandatangani kontrak berat sebelah dengan kontraktor negara China untuk projek Rel Laluan Pantai Timur (ECRL).
Mantan Perdana Menteri itu berkata, ketika itu beliau telah beberapa kali mencabar PH supaya mendedahkan kontrak yang didakwanya itu sebagai bukti ianya tidak ada klausa penamatan.
Namun, katanya, sehingga kini PH yang sudah mengambil alih kerajaan Persekutuan sejak Mei lalu tidak berani menyahut cabarannya.
“Minggu lepas, beberapa surat pembatalan dari kerajaan PH kepada kontraktor ECRL telah terdedah kepada rakyat.
“Surat-surat ini jelas menunjukkan kontrak telah dibatalkan berdasarkan klausa-klausa penamaan yang dinamakan.
“Sebenarnya, kontrak dengan syarikat milik kerajaan China itu dibuat mengikut perjanjian standard Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi projek-projek reka dan bina (design and build),” katanya dalam status Facebook beliau hari ini.
Najib berkata, sudah tentu perjanjian ECRL juga ada klausa penamatan sedia ada seperti dalam semua perjanjian JKR.
Bagaimanapun, katanya, apa sudah terjadi dengan kontrakor yang kononnya dapat membina ECRL dengan kos hanya RM10 bilion itu?
Beliau berkata, pada awal kemenangan PH pada PRU14, kerajaan itu telah melemparkan pelbagai tuduhan amat berat terhadap BN, kononnya mereka mendapat maklumat yang “disorok” oleh kerajaan BN apabila mengambil alih kerajaan.
Antaranya, ujar Najib, dakwaan itu termasuk hutang RM1 trilion, duit input GST RM19.2 bilion telah dirompak dan BN telah guna wang kerajaan untuk membayar RM7 bilion untuk menolong 1MDB.
“Kerajaan telah mengambil alih semua aset 1MDB yang nilainya RM30 bilion. Oleh itu, kerajaan perlu membayar kepada 1MDB untuk aset ini. Ini praktis accounting biasa. Takkan mahu ambil aset, tapi tak mahu bayar?
“Satu demi satu saya telah menjelaskan dan menunjukkan bahawa kerajaan PH telah berbohong, ataupun terkantoi dengan sendirinya apabila bukti-bukti lanjut terkeluar selepas itu.
“Menteri “Kewayangan”: Dengar boleh, percaya jangan,” katanya pada akhir tulisan itu. – MalaysiaGazette