Donald Trump. foto Reuters

WASHINGTON- The Pentagon menghantar 3,750 tentera tambahan ke sempadan Mexico bagi tempoh tiga bulan bagi membantu petugas-petugas di sempadan.

Menurut Jabatan Pertahanan AS, penghantaran tersebut akan menambah jumlah anggota aktif bagi membantu petugas-petugas Kastam dan Perlindungan Sempadan yang ketika ini berjumlah 4,350.

Pentagon bagaimanapun merahsiakan angka rasmi beberapa hari selepas ahli Parlimen Demokrat berkata kira-kira 3,500 askar tambahan telah dihantar ke sana.

Presiden Donald Trump yang menggambarkan situasi di sempadan Mexico sebagai krisis dijangka bercakap mengenai imigresen dan cadangannya untuk membina tembok sepanjang sempadan AS-Mexico semasa membuat ucapan di majlis tahunan State of the Union, Selasa ini.

Trump meminta supaya wang untuk pembinaan tembok tersebut dimasukkan sekali ke dalam perbelanjaan negara.

Sekiranya penggubal undang-undang tidak dapat untuk mencapai persetujuan berhubung situasi keselamatan sempadan menjelang 15 Februari ini, Trump mengugut supaya operasi kerajaan ditutup semula atau beliau akan mengisytiharkan darurat sebagai salah satu cara untuk menghalang Kongres dan mendapatkan wang pembinaan tembok tersebut.

“Saya tidak rasa ianya akan dibatalkan,” katanya semasa temubual bersama CBS pada Ahad.

Pengkritik melabelkan penghantaran askar tersebut sebagai satu aksi politik dan mencemuh Trump yang membandingkan pendatang termasuk wanita dan kanak-kanak menggunakan caravan di Amerika Tengah sebagai penjajahan. – Agensi