KUALA LUMPUR – Penyanyi Elly Mazlein secara terbuka menegur seorang pengacara yang disifatkan masih tidak berpuas hati dengannya selepas mendakwa masih dijadikan bahan sindiran oleh pengacara itu.
Teguran itu dibuat Elly atau pemilik nama lengkap Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, yang memaparkan video pendek hos terbabit bersama pengacara Haziq Hussni dalam sebuah program realiti.
“Inilah contoh hanya hiasan menutup bangkai di longkang. Penunggang 2024, sekian tajuk album. Lupakan aku dalam kepala otak kau boleh?,” katanya menerusi hantaran InstaStory miliknya.
Dalam masa sama, pelantun lagu Janji Kasih itu berdoa agar dia menjadi pengacara yang profesional tanpa ‘membahan’ orang lain.
“Moga Kepom (Elly) tidak menjadi pengacara seperti ini suka membahan dan memerli. Moga kasih sayang terus kekal dalam diri Kepom buat selamanya buat sesama insan.
“Haziq Hussni buat yang terbaik ya, lebarkan sayapmu,” ujarnya.
Menerusi InstaStory itu, Elly turut menyimpan video tersebut dalam ruangan ‘highlight’ dengan tajuk Pengacara Sampah dan Penunggang 2024.
Menerusi video pendek yang dikongsikan, kelihatan pengacara Jihan Muse dan Haziq menyanyikan lagu Mengintai Dari Tirai Kamar nyanyian asal Exists.
“Ada seorang versi perempuan, aku tak tahu kau dah muncul dalam Astro,” gurau Jihan.
Sebelum ini, Elly pernah menarik diri daripada mengacarakan sebuah program realiti yang turut dikendalikan Jihan dan Nabil Ahmad.
Difahamkan, Elly berbuat demikian atas faktor peribadi tanpa memperincikan alasan pengunduran daripada pertandingan nyanyian tersebut. – MalaysiaGazette