Raggie Jessy Rithaudeen
Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanahairku, Raggie Jessy Rithaudeen menunjukkan dua laporan polis terhadap Datuk S.Ambiga dan Penguam Negara Tommy Thomas mengenai kes saman fitnah RM90 juta di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, hari ini. foto NIZAM ZAIN

SUBANG JAYA – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) digesa menggunakan semua peruntukan undang-undang untuk memaksa Datuk S.Ambiga memberi maklumat mengenai dakwaan dana RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas.

Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanahairku, Raggie Jessy Rithaudeen berkata, ia susulan pengakuan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam laporannya sebelum ini bahawa Ambiga sebagai pemberi maklumat mengenai skandal tersebut.

“Saya telah meminta pihak polis menggunakan kuasa sepenuhnya di bawah Perlembagaan Persekutuan dan akta-akta berkaitan untuk memaksa Ambiga menjawab ya atau tidak mengenai kenyataan pembelaan dan tuntutan balas Clare di Mahkamah Tinggi London pada 11 Oktober 2017.

“Saya turut meminta pihak polis menyiasat Ambiga di bawah akta-akta berkenaan untuk memastikan sama ada beliau mempunyai bukti kukuh berkenaan pembayaran RM90 juta kepada Clare.

“Dalam kenyataan pembelaan dan tuntutan balas Clare jelas menunjukkan bahawa apa-apa tuduhan yang dibuat terhadap Hadi semuanya datang daripada Ambiga dengan mengatakan Najib bayar Pas RM90 juta.

“Kalau ya mana buktinya, kalau tidak, adakah Ambiga berbohong. Oleh kerana ia melibatkan nilai suapan Najib kepada Hadi, mungkin ada unsur-unsur jenayah dan fitnah,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, hari ini.

Terdahulu Raggie Jessy hadir ke IPD Subang Jaya hari ini bagi membuat dua laporan polis terhadap Ambiga, Clare serta Peguam Negara Tommy Thomas berhubung isu saman fitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai dakwaan Pas menerima RM90 juta daripada UMNO.

Laporan polis itu merupakan susulan daripada laporan sama Raggie Jessy kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam, Khamis lalu.

Raggie Jessy juga meminta pihak polis menyiasat bekas pengerusi Bersih 2.0 kemungkinan menerima habuan berbentuk wang daripada Clare atau mana-mana pihak untuk mengeluarkan kenyataan palsu terhadap Abdul Hadi, Pas dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pihak Unit Cawangan Khas pernah diberikan secara rasmi bukti sahih komunikasi yang berlaku di antara Clare dengan Ambiga yang jelas menunjukkan apa yang sebenarnya dibincangkan oleh mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette