Raja Vajiralongkorn.

BANGKOK- Raja Thailand Maha Vajiralongkorn menghalang kakak sulungnya bertanding dalam pilihan raya negara tersebut bulan depan dengan alasan ianya melanggar perlembagaan dan tidak sesuai.

Raja Maha Vajiralongkorn mengeluarkan titah berkenaan lewat malam tadi dan sekali gus mematikan impian politik kakaknya itu.

Puteri Ubolratana, 67, sebelum itu mengumumkan persetujuannya untuk bertanding dengan mewakili parti politik yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang dibenci oleh kebanyakan kerabat diraja dan pengikut mereka.

Bagaimanapun terdapat spekulasi mengenai peranan monarki semenjak pilihanraya Thailand semakin dekat pada 24 Mac ini, pilihanraya pertama sejak junta tentera mengambil alih selepas rampasan kuasa lima tahun lalu.

Ramai melihat pertelingkahan keluarga berlaku di dalam keluarga diraja ketika ini dan ia mengejutkan rakyat Thailand.

Kebanyakan warga Thailand ketika ini adalah generasi yang dilahirkan dan dibesarkan ketika pemerintahan Raja Bhumibol Adulyadej yang sentiasa membawa imej tenang dan mendapat sokongan kuat daripada pasukan tentera sepanjang 70 tahun pemerintahannya.

Selepas kemangkatan Raja Bhumibol pada 2016, negara berkenaan dibelenggu ketidaktentuan di antara kuasa tentera, monarki dan pemimpin rakyat generasi baharu yang diketuai Thaksin manakala Raja Vajiralongkorn sering dilihat melakukan pelbagai inisiatif untuk meluaskan pengaruh baginda.

Raja baharu itu telah mengarahkan perubahan dalam perlembagaan yang memberikan baginda kuasa untuk menyelesaikan pertikaian di antara rakyat atau pemimpin tentera.

Baginda juga secara tunggal telah mengambil AS$40 bilion daripada kekayaan diraja yang dipegang oleh Biro Hartanah Mahkota yang kebanyakannya dalam bentuk pemilikan tanah dan saham.

Ramai penganalisis politik melihat keputusan Puteri Ubolratana untuk bertanding di dalam pilihanraya adalah petunjuk baharu kesanggupan adiknya untuk masuk campur dalam perancangan junta selain melakukan perubahan kepada diri beliau sendiri yang merupakan seorang puteri raja kepada seorang pemimpin kerajaan yang dipilih rakyat.-Agensi

Artikel berkaitan:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/08/kakak-raja-thailand-mahu-bertanding-jadi-pm/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast