BEIJING – Seorang kanak-kanak perempuan mengalami pengalaman yang menakutkan selepas terjatuh dalam kandang yang menempatkan tiga panda gergasi.
Kanak-kanak berkenaan yang dipercayai murid sekolah rendah terjatuh ke dalam lubang yang mengelilingi kandang panda setinggi dua meter di Pangkalan Penyelidikan Panda Gergasi di Chengdu, dekat wilayah Sichuan, Beijing.
Rakaman insiden berkenaan menunjukkan seekor panda cuba mendekati kanak-kanak yang sedang menangis ketika berpuluh-puluh pengunjung melihat kejadian berkenaan.
Bagaimanapun, panda berkenaan hanya kelihatan ingin tahu dan tidak membuat percubaan untuk turun ke dalam lubang tersebut.
Usaha untuk menyelamatkan kanak-kanak itu menggunakan sebatang kayu gagal.
Lantas, seorang pengawal keselamatan bertindak pantas dengan menjatuhkan badannya dan menghulurkan tangannya kepada kenak-kanak tersebut.
Kanak-kanak itu akhirnya berjaya dikeluarkan dengan selamat.
Detik itu cukup mendebarkan kerana ketika itu dua lagi panda berada berdekatan dengan lubang tersebut.
Kakitangan pusat rizab panda itu mempertahankan keselamatan di kawasan berkenaan.
“Pengadang kandang di situ cukup tinggi, kecuali anda memanjat dan terjatuh,” kata jurucakap pusat tersebut.
Tetapi, rakaman video berkenaan menunjukkan pengadang besi itu hanya setinggi satu meter dengan wujud jurang yang besar di antara besi-besi tersebut membolehkan kanak-kanak terbolos ke dalam kandang panda. – MalaysiaGazette