KUALA LUMPUR – Presiden MCA terus menimbulkan pertanyaan berhubung kelayakan Lim Guan Eng sebagai akauntan bertauliah.
Dalam hantaran terbaharu di Facebook hari ini, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Menteri Kewangan itu bukan akauntan bertauliah di Australia dan New Zealand.
Guan Eng, katanya, juga bukan Akauntan Awam Bertauliah (CPA) dan tidak menjadi ahli Institut Akauntan Malaysia.
“Persoalannya, adakah beliau seorang akauntan bertauliah?,” soalnya.
Chartered Accountants Australia New Zealand telah mengesahkan bahawa individu bernama Lim Guan Eng tidak didaftarkan di situ.
Malah, CPA Australia Ltd juga memaklumkan Guan Eng bukan ahlinya.
Artikel berkaitan: Akauntan profesional: Guan Eng timbang saman Ka Siong dan media
Presiden MCA persoal kelayakan akauntan bertauliah Guan Eng
Isu kelayakan Guan Eng sebagai akauntan bertauliah menjadi kontroversi apabila maklumat dalam laman web peribadi Menteri Kewangan limguaneng.com, mendakwa beliau seorang akauntan professional yang bertauliah pada tahun 1983.
Perkara itu disifatkan sebagai pelik kerana Guan Eng hanya menamatkan pendidikannya dalam Ijazah Ekonomi dari Monash University pada tahun 1984. – MalaysiaGazette