Tony Pua
Ahli Parlimen Damansara merangkap Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua bersama Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng (kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Pandamaran, Leong Tuck Chee (kanan) menunjukkan salinan sijil ijazah dalam ekonomi milik Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada sidang media mengenai serangan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Ibu Pejabat DAP, Jalan Yew, Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sedang mempertimbangkan untuk menyaman Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong kerana mempersoalkan kelayakannya menjadi akauntan profesional.

Dalam masa yang sama tindakan itu juga berkemungkinan akan dikenakan terhadap media yang melaporkannya baru-baru ini yang mempertikaikan status menteri DAP itu, menurut Setiausaha Politik Guan Eng, Tony Pua.

Katanya, Ka Siong membuat dakwaan tidak berasas itu dengan hanya bersandarkan ‘perbincangan atas talian’ daripada website yang disifatkannya ‘fiksyen’.

“Dr Wee Ka Siong bankrap idea, pilih thread (perbincangan dalam talian) daripada website fiksyen untuk mensensasikan isu yang tidak wujud demi meraih sokongan politik.

“Peguam Menteri Kewangan telah menasihatkan bahawa beliau (Guan Eng) berhak memfailkan saman fitnah terhadap mana-mana pihak yang terlibat, yang relevan (termasuk media),” katanya termasuk mana-mana media pro-BN yang turut melaporkannya.

Jelasnya, Guan Eng telah berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi pada penghujung 1983 namun hanya menerima sijil setahun kemudian.

“Ka Siong mungkin berminat untuk mengetahui bahawa kalendar akedemi Australia tamat pada November sebelum cuti musim panas. Jadi penghujung 1983 Lim telah menamatkan pengajian dan lulus dalam semua peperiksaan yang berkaitan untuk beliau memperolehi ijazah dan kelayakan untuk menjadi akauntan.

“Untuk pengetahuan Dr Ka Siong. Lim telah menerima “Sijil Keahliannya dalam ‘Australian Society of Accauntants’ tiga bulan selepas lulus ujian pada 21 Febuari 1984. Keahliannya (diterimanya) pada 11 April 1984,” katanya kepada pemberita ketika sidang media.

Tony mengadakan sidang media di ibu pejabat DAP hari ini bagi  menyanggah kenyataan Ka Siong semalam yang mempersoalkan bagaimana Guan Eng menjadi akauntan profesional bertauliah pada tahun 1983 sedangkan mengikut mengikut laman web rasmi Monash University, beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi pada tahun 1984.

Beliau yang berkata demikian menerusi hantaran di Facebook Guan Eng dalam masa sama mendesak Menteri Kewangan itu yang juga Setiausaha DAP untuk memberi penjelasan terhadap perkara tersebut.

Ketika ditanya mengapa bukan Menteri Kewangan itu sendiri mengeluarkan kenyataan, Tony menyifatkan isu yang dicetuskan oleh Ka Siong sebagai perkara remeh.

“Perkara ini cukup remeh tak perlu dia sebagai Menteri Kewangan untuk jawab,” kata Tony.

Tony kemudian menggesa Ka Siong menjelaskan isu dana yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwanya disalur daripada 1MDB. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: Presiden MCA persoal kelayakan akauntan bertauliah Guan Eng