Menteri Kewangan, Lim Guang Eng (kiri) bersalaman dengan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam (kanan) pada Majlis Ramah Mesra Kementerian Kewangan Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sempena Sambutan Rahun Baru Cina 2019 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 14 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Tajaan lawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun bersama pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diluluskan oleh lembaga pengarah Lembaga Totalisator Malaysia sejak 2017 lagi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan, kelulusan penajaan tersebut telah dibuat sejak kerajaan Barisan Nasional lagi dan beliau hanya mengetahui perkara tersebut melalui berita yang tersiar di media-media massa.

Tambahnya, sebagai sebuah badan berkanun, Lembaga Totalisator Malaysia mempunyai hak di bawah aktanya sendiri untuk membuat penajaan tersebut tanpa perlu merujuk kepada Kementerian Kewangan terlebih dahulu.

Guan Eng turut mengulas mengenai kenyataan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki beliau tidak sensitif hukum Islam dan sentimen rakyat Malaysia dengan membenarkan sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan menggunakan dana daripada syarikat perjudian untuk membiayai lawatan kerja pegawai kerajaan ke luar negara.

Tegas beliau, Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu bermain dengan politik sempit dan merbahaya.

“Saya difahamkan lembaga pengarah telah meluluskan (penajaan) pada 2017.

“Beliau adalah ketika itu adalah timbalan menteri kalau tidak silap saya, apakah beliau tujukan kepada diri sendiri?

“Kos lawatan adalah rm184,685 seorang dan ditaja oleh syarikat berkanun Lembaga Totalisator Malaysia dan lembaga pengarah tidak rujuk kepada kementerian.

“Saya juga tidak tahu dan hanya mengetahui perkara tersebut apabila membaca berita.

“Saya tidak mahu cakap lebih daripada itu cuma saya rasa beliau memainkan permainan politik yang bahaya dengan menggunakan isu sentimen dan prejudis yang tidak baik hanya kerana saya seorang bukan Islam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, portal Sarawak Report melaporkan Mohamad Fuzi dan pegawainya menginap di Hotel Sura Hagia Sophia bertaraf empat bintang di Sultanahmet di Istanbul.

Portal itu turut mendedahkan kadar sewa hujung minggu di hotel berkenaan dianggarkan RM685 semalam, berdasarkan sebut harga di laman web booking.com dan mendakwa kos penerbangan pergi balik mereka keseluruhannya dianggarkan lebih RM250,000.

Dengan itu, Guan Eng semalam menjelaskan, lawatan kerja pegawai-pegawai kanan polis itu bukan dibiayai oleh kerajaan sebaliknya ditaja oleh sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan yang mana sumber pendapatannya adalah daripada syarikat perjudian berlesen.-MalaysiaGazette