Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. foto AFFAN FAUZI.

PENDEDAHAN Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai ikrar Pas tidak menyokong UMNO dalam PRK Semenyih memang mengejutkan.

Pada hari penamaan calon, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa Presiden Pas juga membuat dokumen bertulis mengenainya.

Itu hasil pertemuan antaranya dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, katanya.

Masa membuat kenyataan itu Tun M nampak serius bukan ayat sarkastik yang biasa diucapkan.

Kenyataan itu berbeza sekali dengan kenyataan Abdul Hadi.

Ahli Parlimen Marang berkata, pertemuan dengan PM bagi urusan penyelarasan beberapa perkara berkaitan kerajaan Kelantan dan Terengganu dengan kerajaan Pusat.

Ia termasuk soal royalti, katanya.

Bagaimanapun selepas pendedahan Tun M – Abdul Hadi belum membuat penjelasan.

Entah ya entah tidak, hanya Allah dan mereka berdua yang tahu.

Senario itu nampaknya segera dinafikan oleh pimpinan Pas dan mendakwa tidak arahan daripada pucuk pimpinan parti.

Pimpinan UMNO pun tidak mempercayainya apalagi mereka baharu sahaja jalan seiring semasa penamaan calon PRK Semenyih semalam.

Dalam masa yang sama, belum ada pimpinan Pakatan Harapan (PH) lain mengiyakan kenyataan Tun M.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada malam sebelum penamaan masih keras mengritik Pas.

Bagaimanapun pendedahan Tun M membuka ruang terciptanya pelbagai spekulasi jika benar ada pakatan sulit kedua-dua pihak.

Ada yang kata, ia dilakukan bagi menyelamatkan pimpinan Pas daripada sebarang pertuduhan berkaitan 1MDB.

Ada yang kata ia strategi terdesak PH untuk memastikan kemenangan BN tak berulang di Semenyih.

Lebih lucu, ada pihak bimbang pihak Tun M akan menggunakan tanda tangan Abdul Hadi pada buku log kedatangan akan dijadikan bukti ada dokumen bertulis.

Atau ia mungkin benar tapi rahsia dan Tun M membocorkannya?

Apa pun, kedua-duanya otai politik. Abdul Hadi dan Tun M juga seteru politik sekian lama dan mereka juga strategis cuma ada stail masing-masing.

Bagi pihak Pas, jika benar-benar ada perjanjian berkenaan, di mana peranan Majlis Syura yang selama ini dijadikan pembuat dasar utama parti berkenaan.

Adakah Abdul Hadi senang-senang buat keputusan?

Lagi pun, Abdul Hadi ada beritahu MB Terengganu dan Setiausaha Agung Pas ada bersamanya pada pertemuan itu dan kenapa Datuk Takiyuddin Hassan masih bersama BN pada penamaan calon PRK Semenyih?

Tidak terkecuali juga ada yang menganggap kenyataan Tun M sekadar mahu ‘mengalihkan’ perhatian ekoran kemasukan partinya ke Sabah yang menimbulkan kontroversi.

Macam-macam tapi bagi penganalisis politik, mereka akan memandang perkara itu secara tersirat sama ada ia hanya sekadar ‘peralatan’ perang atau ada maksud lain di sebaliknya.- MalaysiaGazette