KUALA LUMPUR -Lima belas kereta ditunda kerana menghalang lalu lintas dalam Ops Bersepadu Khas Tindakan Halangan di sekitar Jalan Bukit Bintang di sini, semalam.
Timbalan ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar berkata, operasi tersebut bermula sekitar jam 9 malam hingga 12.30 tengah malam disertai Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPD Dang Wangi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ia tertumpu di Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Ceylon, Jalan Changkat, Jalan Berangan, Jalan Walter Granier dan Jalan Tengkat Tungshin.
“Hasil operasi ini, kita telah mengeluarknan sebanyak 466 saman membabitkan 319 saman PDRM , DBKL (92) dan JPJ (55). Selain itu, sebanyak 15 kenderaan telah ditunda oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Tujuan utama operasi ini adalah menguatkuasakan undang-undang jalan raya terhadap pengguna yang membuat halangan dan meletakkan kenderaan di tempat tidak sepatutnya sehingga mengganggu pergerakan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihaknya juga melaksanakan Ops Motosikal dengan pemeriksaan ke atas jentera itu yang diubah suai serta tidak sepatutnya berada di atas jalan raya dan tindakan saman diambil terhadap pengguna yang melakukan kesalahan tersebut.
“Operasi bersepadu di persekitaran Bukit Bintang ini akan diteruskan pada setiap minggu bagi memastikan pemandu dan penunggang sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas yang telah ditetapkan selain menfokuskan kelancaran pergerakkan kenderaan di kawasan terbabit,“ jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Balai Polis Trafik di talian 03 – 2026 0267/692 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette
















