Patrick Shanahan. foto Agensi

WASHINGTON – Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat belum menentukan sama ada tembok sempadan dengan Mexico menjadi satu keperluan tentera.

Presiden Donald Trump pada hari Jumaat lalu memaklumkan beliau bakal isytihar kecemasan kebangsaan dalam usaha membiayai tembok di sempadan Amerika Syarikat-Mexico tanpa kelulusan kongres.

Dengan mengisytiharkan darurat kebangsaan, Trump boleh menggunakan dana Jabatan Pertahanan tertentu untuk membina tembok.

Bagaimanapun, mengikut undang-undang, Setiausaha Pertahanan perlu memutuskan sama ada dinding itu diperlukan secara ketenteraan sebelum wang daripada bajet pembinaan ketenteraan boleh digunakan.

“Kami tidak membuat sebarang keputusan, kami telah mengenal pasti langkah-langkah yang akan diambil untuk membuat keputusan itu,” kata Patrick Shanahan, pemangku Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat.

Beliau menambah, perancang tentera telah melakukan analisis awal dan beliau akan mula mengkaji semula pada hari Ahad.

Amerika Syarikat memerlukan hampir AS$7 bilion untuk membina tembok, termasuk kira-kira AS$3.6 bilion daripada bajet pembinaan ketenteraan daripada Dana Pertahanan Dadah, Jabatan Pertahanan.

Sumber pertahanan Amerika Syarikat berkata, Shanahan akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Perkhidmatan beberapa hari akan datang untuk mendapatkan penjelasan secara spesifik tentang dana tersebut.

Berdasarkan analisis awal, Shanahan akan meluluskan sejumlah AS$3.6 juta daripada bajet pembinaan tentera.

Namun, Shanahan berkata, perancang telah mengenal pasti sumber kewangan berbeza yang boleh digunakan tetapi dia belum memutuskan projek-projek yang akan mendapat impak daripada keputusannya. – MalaysiaGazette