Faekah Husin
Faekah Husin

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memperlihatkan sebagai pemimpin politik yang matang kerana berjaya mengawal keadaan ketika beliau ‘diserang’ pelbagai pihak berhubung isu pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Jumaat lalu.

Bahkan, kenyataan balasnya mengenai dakwaan Dr. Mahathir bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih juga telah menutup isu itu daripada terus menjadi bualan musuh politiknya.

Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor, Faekah Husin ketika menjelaskan perkara itu berkata, apa yang dilakukan Abdul Hadi disebabkan beliau tidak mahu memalukan mana-mana pihak, meskipun sangat difahami terdapat usaha dan unsur memanipulasi isu serta keadaan.

“Jelas, hemah seorang agamawan pasti mengatasi kerakusan ‘political animal’,” katanya menerusi ciapan Twitter beliau semalam.

Faekah berkata, Abdul Hadi sekurang-kurangnya dapat mengawal keadaan daripada menjadi mangsa kepada kerakusan pihak tertentu yang gemar memperbesarkan sesuatu isu, walaupun hakikatnya tidak ada apa perlu dibangkitkan.

“Kenyataan Abdul Hadi itu saya kira sangat matang dan terlihat bagaimana sedaya mungkin dia tidak mahu memalukan mana-mana pihak, meskipun kita faham ada usaha musuh politiknya mahu memanipulasikan isu berkenaan,” katanya.

Semalam, Setiausaha Akhbar Abdul Hadi, Syahir Sulaiman memberi penjelasan, kenapa Ahli Parlimen Marang itu tidak menjawab soalan wartawan, walaupun beliau ada peluang untuk menjelaskannya kepada media.

Ini kerana, kata Syahir, Abdul Hadi mahu menjelaskan terlebih dahulu kepada pimpinan tertinggi parti dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat yang diadakan di Rusila, Terengganu semalam.

“Inilah akhlak dan adab berjemaah yang ditunjukkan oleh Abdul Hadi,” katanya.

Isu itu timbul selepas Dr. Mahathir pada Sabtu menjelaskan kepada wartawan, bahawa Abdul Hadi membuat perakuan bertulis kononnya Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO, BN pada PRK Semenyih 2 Mac ini.

Kenyataan terbuka Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengejutkan semua pihak, yang sebelum ini tertanya-tanya isi kandungan perbincangan antara Abdul Hadi dengan Dr. Mahathir pada pagi Jumaat lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Betul ke Matang? Atau lebih bersifat Damage Control?

    Jika Matang, Hadi ‘is in control’ & jika Damage Control, ‘ soon, the damage is out of control’.

    Siasatan oleh SPRM masih belum selesai. Kini SB pula siasat dakwaan Agent CIA.

    Kini Claire reminds Hadi, Contradict statement in London Court dgn yg Hadi selamba beritahu wartawan2 di Malaysia.

    The deceits & lies have now akin like a runaway train.

Comments are closed.