SHAH ALAM – Seorang saksi di inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim mendakwa kesan tapak kasut dan lebam jelas kelihatan pada tubuh anggota bomba itu ketika dia dikejarkan ke hospital pada malam rusuhan 27 November lepas.
Narresh Rajandran, 30, seorang sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam segera memeriksa dan cuba mengenakan pertolongan cemas pada Adib apabila ternampak anggota bomba itu tidak sedarkan diri di tepi jalan.
Portal Free Malaysia Today yang membuat liputan inkues melaporkan, Narresh memeriksa keadaan Adib dalam kenderaan seorang pemandu yang sudi membantu mereka, dalam perjalanan ke hospital selepas berjaya mengeluarkan Adib daripada rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.
“Rusuk bahagian kanannya lebam dan kemerah-merahan. Saya lihat di badannya ada pasir-pasir dan ada kesan garisan tapak kasut di rusuk kanan,” kata saksi ke-9 inkues kepada koroner hari ini.
Narresh pada mulanya khuatir ada Adib mengalami pendarahan. Pegawai pengendali inkues kemudian memaklumkan pada koroner Adib tidak mengalami pendarahan.
“Saya periksa nadi Adib. Nadinya sangat lemah dan beliau tidak bercakap sepatah atau memberikan sebarang respon.
“Namun saya terus berkomunikasi dengannya. Saya ingat lagi dia dalam keadaan sesak nafas, matanya tertutup dan tidak berikan respon.
“Dari situlah saya tahu sudah tidak boleh lakukan apa-apa termasuk memberikan bantuan pernafasan,” katanya.
Orang ramai sibuk ambil video
Sebelum itu, Narresh memaklumkan sewaktu tiba di lokasi rusuhan, tidak ada orang yang cuba membantu Adib yang dalam keadaan tidak sedarkan diri walaupun mengerumuni anggota bomba itu.
Beliau bagaimanapun tidak nampak siapa yang memukul Adib.
“Semua orang hendak ambil gambar dan video sahaja. Saya beritahu mereka saya sukarelawan APM dan masuk melihat Adib.
“Saya tahu dalam keadaan itu saya tidak boleh pegang dia dulu. Saya perlu alihkan kemudian barulah bawa dia ke hospital.”
Narresh mendedahkan dia sukar mendapatkan pertolongan orang ramai yang sudi mengejarkan mereka ke hospital sehinggalah dia berjaya menahan sebuah kenderaan pacuan 4 roda yang dipandu seorang berketurunan Melayu dalam cubaan kali ketiganya.
“Saya berlari semula ke arah Adib yang bersandar tidak sedarkan diri. Ketika saya sampai ke arah anggota bomba itu, baju celoreng, kemeja T yang dipakainya, tali pinggang dan kasut semuanya sudah ditanggalkan.
“Ada yang arahkan saya beri air kepada untuk minum. Saya minta orang ramai yang berhampiran untuk angkat anggota berkenaan, dengan cara memasukkan tangan ke bawah badan, seperti pengusung,” katanya.
Kad pengenalan Adib
Setibanya mereka di Pusat Perubahan Subang Jaya di SS12, Subang Jaya, Narresh mendesak kakitangan hospital segerakan rawatan ke atas Adib.
“Jururawat datang bawa pengusung, bawa masuk ke dalam dan bertanya mana Adib punya kad pengenalan, kad kakitangan kerajaan atau kad perubatan.
“Dua kali mereka tanya kepada saya, kemudian saya jerit dan beritahu kalau pihak perubatan tidak selamatkan dia, nyawa dia akan terancam, jadi tolonglah selamatkan dia.
“Kemudian, baru mereka bawa dia masuk ke dalam untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Narresh kemudian meletakkan baju celoreng Adib, kemeja T dan tali pinggang di kaunter hospital.
Adib, 24, yang merupakan anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, meninggal dunia di Institut Jantung Negara 3 minggu selepas kecederaan yang dialami dalam rusuhan malam itu. FMT