SEMENYIH – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan beliau akan bercuti dalam memegang jawatan itu lebih lama lagi.
Bagaimanapun tidak memperincikan tempoh selama mana akan terus bercuti daripada menjadi Presiden UMNO.
Ahmad Zahid dipilih sebagai Presiden UMNO pada Jun tahun lalu menggantikan Datuk Seri Najib Razak.
“Cuti sebagai Presiden UMNO sampai bila? Nantilah saya tentukan,” katanya ringkas.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kehadirannya di Semenyih adalah atas kapasiti ahli UMNO dan bukan mewakili parti bagi membantu kempen keatas calon BN, Zakaria Hanafi.
“Ini kali ketiga saya turun ke Semenyih. Tidak turun bagi membantu jentera UMNO atau BN. Saya datang sebagai individu dan kehadiran saya adalah anjuran NGO walaupun saya bercuti (sebagai presiden) saya tidak pernah bercuti sebagai ahli UMNO,” katanya lagi.
Ahmad Zahid pada 18 Disember lalu mengumumkan keputusannya menyerahkan tugas-tugas presiden kepada timbalannya Datuk Sei Mohamad Hasan berkuat kuasa serta merta.
Jelasnya, keputusan itu diambil bagi menyelamatkan UMNO daripada masalah pemimpin dan wakil rakyatnya yang keluar parti.
Ia ekoran desakan ramai pihak terutamanya akar umbi parti yang mahu beliau bercuti setelah berdepan 45 tuduhan rasuah dan pecah amanah. -MalaysiaGazette