Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasaran hartanah dijangka kekal tidak berubah pada tahun ini.

Bagaimanapun, pengenalan Polisi Perumahan Negara 2.0 dan platform hartanah crowdfunding dijangka membantu pemulihan sektor hartanah dalam satu hingga dua tahun lagi.

Pengarah Penyelidik Rahim & Co, Sulaiman Akhmady Mohd Saheh berkata, transaksi dalam aktiviti jualan hartanah semakin lembap, malah lebih perlahan berbanding tahun sebelumnya.

“Rebat yang terus diberikan oleh pemaju menunjukkan harga (hartanah) semakin menurun,” katanya dalam taklimat Rahim & Co Property Market Review 2018/2019.

Laporan itu membabitkan semua pasaran haratanah termasuk kediaman, peruncitan, pejabat, hotel dan industri.

Situasi itu berlaku kerana para pembeli masih bergelut untuk mendapatkan pinjaman.

Jumlah transaksi susut pada suku ketiga tahun lalu sebanyak 0.3 peratus kepada 228,867 dengan nilai RM100.9 bilion.

Jumlah bekalan kediaman sedia ada di Malaysia kira-kira 5.51 juta dengan Selangor merekodkan sebanyak 1.52 juta kediaman.

Manakala Johor dengan 800,000 kediaman dan Kuala Lumpur 476,628.

Sehingga akhir suku ketiga tahun lalu, jumlah hartanah yang memiliki sijil layak menduduki tetapi tidak terjual berjumlah 43,219 dengan nilai RM29.47 bilion.

Johor merekodkan sebanyak 13,767 unit kediaman dalam kategori itu, diikuti Selangor 7,233 dan Kuala Lumpur 5,114.

Sulaiman menjangkakan segmen kediaman mengambil masa satu hingga dua tahun untuk pulih namun bergantung kepada pertumbuhan pendapatan populasi negara ini.

Menurutnya, peruncitan pusat beli belah juga mengalami risiko lebihan bekalan dengan kemunculan pusat beli-belah dalam pasaran meskipun kadar pengambilan melepasi 80 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast