KUALA LUMPUR – Kesengsaraan adik Azalea Hani Abdul Rahim yang melecur teruk akibat terkena sambal popia basah yang mendidih di rumah ibu saudaranya di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang bersetuju membiayai kos rawatan kanak-kanak malang tersebut.
LZS melalui Tabung Kebajikan Pesakit Zakat Selangor akan menyumbang RM20,000 sebagai bantuan pertama bagi pembedahan membuang kulit mati yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Selain itu, LZS turut menyerahkan bantuan kecemasan tunai sebanyak RM500 kepada ibunya, Zalida Syuhana Ahmad Tamam bagi meringankan beban beliau berulang-alik ke hospital.
“Tabung Kebajikan Pesakit Zakat Selangor merupakan inisiatif LZS dengan kerjasama 18 buah hospital dan institut perubatan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
“Ia bagi meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital, di samping memudahkan urusan permohonan bantuan pesakit.
“Dalam kes adik Azalea Hani, LZS akan terus melaksanakan pemantauan terhadap keluarga ini dan bantuan zakat lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan mereka bergantung kepada syarat dan kelayakan,” kata LZS dalam laman rasmi Facebook mereka di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 7 Februari lalu, Azalea Hani, 5, berada di rumah ibu saudaranya untuk meluangkan masa cuti sekolah bersama sepupunya yang lain.
Pada hari kejadian, ada ramai anak saudara di rumah kakaknya yang menjual popia basah memandangkan ketika itu cuti sekolah.
Menurut laporan media, ketika kejadian, kakak Azalea Hani meninggalkan sambal yang sedang masak di dalam periuk di dapur untuk solat Maghrib bersama ibu berusia 67 tahun.
Beberapa minit kemudian, dia memaklumkan terdengar tangisan dan jeritan anak dari bahagian dapur sebelum bergegas meninjau apa yang berlaku.
Ketika ditemui, keseluruhan badan Azalea dipenuhi sambal berkenaan yang tumpah daripada periuk terbabit.
Kakaknya kemudian menjirus air ke bahagian badan anak bongsunya itu dan cuba menanggalkan baju yang dipakai Azalea Hani yang melekat pada kulitnya.
Doktor memaklumkan tahap melecur anak perempuannya itu semakin kritikal menyebabkan dia dipindah ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama untuk rawatan lanjut.
Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada Zalida boleh menghulurkan sumbangan di akaun bank Maybank miliknya, 112183138233 (Zalida Syuhana Ahmad Tamam). – Malaysia Gazette.