Bermula 25 April ini, orang ramai yang berhasrat untuk pulang semula ke tempat tinggal masing-masing selepas terkandas di kampung akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh berbuat demikian. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pemansuhan tol di lebuh-lebuh raya di negara ini sukar dilakukan kerana ia memberi implikasi yang negatif terhadap banyak pihak.

Lantaran itu, pemansuhan tol seperti yang dituntut oleh rakyat sukar untuk berlaku.

Sumber-sumber berkata, setakat ini pun tidak ada perbincangan rasmi antara kerajaan dan pengendali lebuh raya untuk memansuhkan tol secara total.

“Tidak ada, sebab itu apabila timbul isu tol pengendali-pengendali lebuh raya terkejut,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan kerajaan dijangka mengumumkan berita gembira berkaitan tol lebuh raya dalam tempoh terdekat.

Perkara itu, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia sedang dibincangkan Kabinet.

Pemansuhan tol merupakan antara janji manifesto yang dibuat Kerajaan Pakatan Harapan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14.

Rasionalnya, jika pemansuhan tol dilaksanakan, apakah yang akan berlaku pada projek-projek pembinaan lebuh raya yang masih berjalan sekarang.

“Adakah kita akan biarkan projek-projek itu terbengkalai, siapa yang mahu meneruskan jika tol dimansuhkan?,” menurut sumber.

Namun, sumber-sumber berkata, spekulasi dalam kalangan industri lebih menjurus kepada pengurangan tol antara 15 hingga 30 peratus dan kemungkinan besar membabitkan seluruh tol.

“Itu pun agak sukar dilakukan kecuali pada hari-hari tertentu sahaja,” ujarnya.

Bagaimanapun, setakat berita ini disiarkan, mekanisme yang akan dilaksanakan oleh kerajaan masih kabur.

Jelasnya, meskipun kerajaan ada kuasa untuk meminta pengendali menurunkan caj tol, ia tetap perlu dirujuk kepada bahagian kewangan dan risiko.

“Ini kerana, isu tol membabitkan ‘ringgit dan sen’ syarikat. Syarikat tol juga ada tanggungjawab kepada pemegang kepentingan.

“Implikasi kewangan tetap ada kecuali kerajaan bersedia untuk membayar pampasan.

“Sebab itu, isu tol sensitif – bukan sahaja kepada pengguna tetapi lebih-lebih lagi kepada pengendali,” tambah sumber itu.

Meskipun sukar untuk mengulas isu berkenaan, sumber berkata, adalah lebih rasional jika pengendali-pengendali tol memberikan diskaun pada waktu-waktu tertentu berbanding menurunkan kadar tol.

Ia seperti yang dilakukan semasa hari-hari perayaan setiap tahun. – MalaysiaGazette