Azmin Ali
Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media pada Program Santai Petang bersama warga penduduk Kampung Pasir Baru Semenyih sempena kempen Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Padang Awam, Taman Kampung Pasir Baru, Hulu Semenyih, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyindir mereka yang ketika ini gemar membaca Facebook ‘Bossku’ yang merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, ini kerana pendapat dalam laman sosial itu mengenai cadangan pemansuhan tol yang diumumkan semalam tidak memberi gambaran tepat.

Beliau turut menafikan cadangan kerajaan itu tidak ikhlas kepada pengguna jalan raya.

“Itu dengar daripada Bossku. Baca Facebook Bossku banyak sangat.

“Biarlah semua pihak menjalankan kajian dahulu. Apa yang kita mahu, apa yang dijanjikan dalam manifesto janji akan ditunaikan dan itu komitmen diberikan kerajaan.

“Cuma masa diperlukan untuk menentukan pelaksanaan berdasarkan kajian dan tempoh serta cadangan itu hasil sentimen dua pihak (kerajaan dan syarikat konsesi),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis santai bersamanya di Kampung Pasir Baru di sini hari ini.

Azmin turut menolak dakwaan cadangan pemansuhan tol untuk meraih undi pada kempen Pilihan Raya Kecil Semenyih ketika ini.

Jelas beliau, dakwaan itu tidak benar kerana perbincangan kandungan manifesto diadakan sejak seawal penubuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kita ada perancangan tertentu dan pemansuhan tol adalah satu janji.

“Namun kita perlu beri perhatian dan memperhalusi dari segi pemansuhan supaya tidak memberi implikasi kewangan negara untuk meneruskan agenda pembangunan lain.

“Kerajaan perlu mengimbangi kesan pengambilalihan tol dengan peruntukan ekonomi negara.

“Ini yang kita bincang sejak tujuh lapan bulan lalu dan kita ada senarai untuk kita laksanakan (janji) mengikut jadual dan kesesuaian masa serta apa yang janji akan laksanakan,” katanya.

Mohamed Azmin juga mengakui cadangan tersebut belum dimuktamadkan lagi kerana kerajaan perlu perhalusi kesan hendak mengambilalih syarikat konsesi secara kajian mendalam.

“Saya ada pengalaman di Selangor ambilalih syarikat konsesi air dan telah ambil masa yang lama.

“Bila pihak kepentingan sudah memuktamadkan kita akan umumkannya,” katanya. – MalaysiaGazette