Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Seri Mujahid Yusof (tengah) melakukan acara 'Yee Sang' pada Majlis Jamuan Muhibbah Tahun Baru Cina di SKJC Chee Wen, Subang Jaya. foto NIZAM ZAIN, 24 FEBRUARI 2019

SUBANG JAYA – Cadangan untuk mewajibkan suntikan vaksin imunisasi kepada kanak-kanak sebenarnya selari dengan fakta Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan ia bukan perkara baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan, walaupun pada asalnya hukum vaksinisasi itu harus, namun ia akan menjadi wajib sekiranya boleh memudaratkan nyawa jika tidak diambil.

“Kita ada statistik di mana mereka yang tidak mengambil imunisasi ini, mereka akan mati dalam keadaan penyakit-penyakit biasa sebab tiada ketahanan badan.

“Dalam Islam dan jabatan kami sendiri telah jelas dan berpandu kepada fatwa yang ada, hukumnya harus dan jadi wajib jika ia boleh menjejaskan kesihatan anak itu,” katanya ketika ditemui selepas Jamuan Muhibbah Tahun Baru Cina di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) Chee Wen di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Seri Mujahid Yusof pada Majlis Jamuan Muhibbah Tahun Baru Cina di SKJC Chee Wen, Subang Jaya. foto NIZAM ZAIN, 24 FEBRUARI 2019

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan bakal dibentang ke Kabinet.

Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan mendapat ‘desakan’ kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbangkan mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.

Mujahid juga berkata, vaksin yang diberikan kepada kanak-kanak telah diluluskan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dari segi status halal yang sebelum ini dicurigai oleh sesetengah ibu bapa.

“Kita sudah rujuk kepada Jabatan Mufti Wilayah yang telah mengeluarkan fatwa di peringkat Kebangsaan bahawa vaksin yang kita buat di Malaysia ini bukan vaksin haram.

“Ia telah diluluskan, jadi tidak timbul isu itu semua, mereka yang membawa perdebatan perkara ini, seharusnya berhenti daripada berbuat demikian.

“Ini kerana ia akan menjejaskan ketahanan kanak-kanak itu apabila mereka dewasa,” katanya. – MalaysiaGazette