Anthony Loke
Anthony Loke

SEMENYIH – Langkah kerajaan mengumumkan penghapusan kadar tol bagi empat lebuh raya semalam tiada kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Perkara itu ditegaskan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang berkata, pengumuman itu dibuat berikutan kehendak rakyat yang mahu kerajaan melakukan sesuatu secara cepat.

“Kalau tidak, nak tunggu sampai bila. Kalau lepas Semenyih ada Rantau pula. Jadi adakah disebabkan adanya PRK Semenyih kita tak boleh umum apa-apa?

“Kita nak cepat, rakyat nak cepat, rakyat nak melihat keputusan cepat. Itu yang kita laksana dengan cepat. Apabila kita ada satu rancangan yang boleh dilaksnakan kita umumkanlah, bukan sebab PRK. Padahal empat lebuh raya itu tidak terlibat dengan Semenyih,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah berhubung pengumuman penghapusan kadar tol kendalian Gamuda Berhad (Gamuda) pada waktu ‘off-peak’ (bukan waktu puncak) antara pukul 11 malam dan 5 pagi iaitu penggunaan lebuh raya secara percuma.

Malah, dalam kalangan warganet ada yang mempertikai perkara tersebut dengan menyifatkannya sebagai ‘gula-gula’ menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Tero­wong Smart.

Dalam pada itu, Siew Fook turut membidas kritikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila menuduh keputusan kerajaan terhadap perkara itu sebagai menggalak orang ramai terjebak dengan kelab malam.

Katanya, Najib cuba meremehkan perkara itu dan kenyataannya itu dilihat tidak membina.

“Saya lihat hujah dari pembangkang daripada Najib dan Wee Ka Siong. Dia kata kita bagi percuma pada waktu malam nak galakkan orang pergi kelab malam

“Adakah semua orang guna jalan raya pada waktu malam itu semuanya mabuk? Minum minuman keras.

“Dia jangan lupa ada orang kerja kilang, nak balik rumah. Ada orang yang bekerja shif sebelah malam. Jadi, waktu malam itu penggunaan memang tak banyak bolehlah diberikan percuma.

“Tapi pada waktu pagi dan waktu puncak ada kadar bayaran yang dikenakan,” ujarnya.

Tambah beliau, menerusi sistem itu diharap pengguna lebuh raya boleh merancang perjalanan masing-masing dan pada masa sama boleh mengurangkan kesesakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast