Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cuaca panas yang dialami di kebanyakan kawasan di negara ini dijangka beransur reda bermula hujung April 2019.

Ia berikutan bermulanya fasa peralihan monsun yang membawa lebih banyak taburan hujan di seluruh negara.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, negara kini sedang berada pada penghujung Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada akhir bulan depan.

Tempoh penghujung Monsun Timur Laut adalah keadaan tempoh kurangnya taburan hujan di seluruh negara kecuali di barat Sarawak.

“Dalam tempoh ini, ketiadaan hujan atau taburan hujan yang rendah dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan keadaan cuaca panas,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semasa tempoh cuaca panas dan kering, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar, tidak melakukan pembakaran terbuka dan minum air secukupnya. – MalaysiaGazette