Sekitar proses penamaan calon pilihan raya kampus Universiti Malaya yang buat julung kalinya diuruskan sepenuhnya oleh pelajar di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kampus Universiti Malaya 2019 bakal mencipta sejarah apabila buat pertama kali selepas hampir 50 tahun, ia dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar tanpa campur tangan pihak pengurusan universiti.

Uniknya, para pelajar di Universiti Malaya (UM) bukan sahaja mempunyai kuasa untuk menentukan siapakah yang bakal mewakili suara mahasiswa selama setahun, malah hari ini sudah mampu menubuhkan sebuah jawatankuasa mirip ‘Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)’.

Jawatankuasa ini dikenali dengan nama, Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus atau JPRKUM terdiri daripada 19 pelajar dengan bidang pendidikan yang berbeza serta diterajui oleh Presiden, Vanessa Eunice Scully.

MGF25022019_Proses Penamaan Calon Pilihan Raya Kampus UM_10
Pengerusi Jawatankuasa Universiti Malaya 2019, Vanessa Eunice Scully bercakap kepada media pada proses penamaan calon pilihan raya kampus Universiti Malaya yang buat julung kalinya diuruskan sepenuhnya oleh pelajar di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 FEBRUARI 2019

Vanessa yang ditemui MalaysiaGazette ketika proses penamaan calon sebentar tadi melahirkan rasa lega dan gembira serta bangga kerana akhirnya kebebasan para mahasiswa untuk mengendalikan pilihan raya sendiri tanpa ada sebarang ‘gangguan’ dari sesiapa tercapai.

Malah kata Vannessa yang juga pelajar tahun akhir jurusan perundangan, ini sebenarnya peluang keemasan mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam sistem demokrasi, sekali gus menjadi lebih bertanggungjawab dalam menerajui sesuatu institusi pada masa depan.

Jelasnya, visi JPRKUM yang merupakan perintis universiti awam pertama mengendalikan pilihan raya sendiri adalah bagi memastikan prosesnya berjalan dengan bersih, adil dan telus.

“Benar, ini kali pertama dan hakikatnya rata-rata kami sangat teruja dan gembira, kami tentukan dan kendalikan pilihan raya kami dengan lebih adil dan memberi kepuasan kepada semua mahasiswa.

“JPRKUM ini juga telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk membuat reformasi terhadap peraturan pilihan raya serta mengendalikannya dengan objektif  ‘semak dan imbang’ bagi pihak universiti ini sendiri.

“Malah idea penubuhan jawatankuasa ini sebenarnya adalah cetusan Naib Canselor kami sejak September tahun lepas dan buat kali pertama dalam sejarah, kita berjaya merealisasikan harapan serta aspirasi ini.

“Proses penamaan calon hari telah berjalan dengan lancar dan proses berkempen akan bermula tepat jam 8 malam ini selama seminggu, jika sebelum ini tempoh kempen hanya tiga hari sahaja tetapi kini telah dipanjangkan untuk memberi peluang kepada calon.

“Hari pengundian pula pada 4 Mac iaitu Isnin depan dan setakat ini seramai 14,840 mahasiswa UM telah mendaftar sebagai pengundi bagi melayakan diri untuk menentukan wakil mereka untuk tempoh setahun dari sekarang,” katanya ketika ditemui di Auditorium Kompleks Perdana Siswa.

MGF25022019_Proses Penamaan Calon Pilihan Raya Kampus UM_06
Sekitar proses penamaan calon pilihan raya kampus Universiti Malaya yang buat julung kalinya diuruskan sepenuhnya oleh pelajar di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 FEBRUARI 2019

Selain daripada tempoh masa berkempen telah dipanjangkan, sistem pengundian juga akan menggunakan kertas undian dan dikira secara manual.

Satu lagi ‘kebebasan’ yang telah diberikan buat julung kali ialah para mahasiswa dibenarkan menubuhkan parti mereka sendiri dan boleh bertanding atas kapasiti parti atau calon bebas.

Sebanyak lima parti akan bertanding, antaranya Suara Siswa yang merupakan gabungan daripada Umany, Demokrat dan Angkatan Mahasiswa, Penggerak Malaysia, Pewaris, Harmoni dan juga Ikram.

Rata-rata mereka memiliki pengaruh serta kekuataan dalam kalangan mahasiswa selama ini malah ada antara mereka secara terbuka telah menyatakan mempunyai hubung kait dengan parti politik.

Pengumuman keputusan pilihan raya akan dibuat secara berperingkat selepas sesi pengundian dan pengumuman rasmi pada 5 Mac depan dengan pilihan 8 orang wakil bagi kawasan umum manakala 32 buah kerusi pula dari 16 buah fakulti sekaligus menjadikan 40 buah kerusi ditandingi.

Yang pasti pendekatan membebaskan para mahasiswa dari cengkaman ‘tangan halus’ ketika proses pilihan raya kampus buat kali pertama ini menyebabkan rata-rata dapat menarik nafas lega.

Sebelum ini, banyak laporan betapa kotornya pilihan raya kampus berikutan campur tangan luar dan aspirasi memperjuangkan nasib mahasiswa melalui pilihan raya hanya sekadar retorik.

Pada Disember lepas, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang membolehkan mahasiswa terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus.

Keputusan itu dicapai selepas ahli-ahli Dewan bersetuju terhadap Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 bagi memansuhkan peruntukan Seksyen 15(2)(c) AUKU 1971 berhubung larangan ke atas pelajar universiti terlibat dalam parti politik di kampus.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pemansuhan itu juga diterjemahkan kepada janji Pakatan Harapan (PH) untuk menjadikan institusi pendidikan tinggi negara lebih bebas.

Kali terakhir ketiga-tiga akta tersebut dipinda adalah pada tahun 2012, namun pindaan itu sekadar membenarkan mahasiswa terlibat dalam apa jua persatuan, badan atau kumpulan termasuk parti politik ketika di luar kampus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast